KENAIKAN paras laut global dan fenomena penurunan tanah yang semakin ketara akibat perubahan iklim serta aktiviti manusia meletakkan beberapa bandar utama dunia dalam keadaan berisiko tinggi untuk tenggelam menjelang tahun 2100.
Berdasarkan data Forum Ekonomi Dunia dan Earth Data, sekurang-kurangnya 10 kota utama dunia kini berada dalam zon ancaman serius.
1. Jakarta (Indonesia)
Jakarta berdepan ancaman paling kritikal susulan penurunan tanah yang ekstrem, didorong oleh penggunaan air bawah tanah secara berlebihan. Keadaan ini diperburuk oleh kenaikan paras laut, menyebabkan sebahagian besar kawasan bandar semakin kerap dilanda banjir dan berisiko tenggelam secara kekal menjelang akhir abad ini.
2. Lagos (Nigeria)
Bandar pesisir utama di Afrika ini berdepan hakisan pantai serta peningkatan kejadian banjir laut. Pertambahan penduduk yang pesat dan sistem perlindungan pantai yang lemah menjadikan Lagos sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim.
3. Houston (Amerika Syarikat)
Kota Houston mengalami aktiviti penurunan tanah akibat pengambilan air bawah tanah, selain kerap terjejas oleh hujan lebat dan ribut yang semakin ekstrem. Gabungan faktor ini meningkatkan risiko banjir besar serta kerosakan infrastruktur jangka panjang.
4. Dhaka (Bangladesh)
Dhaka, antara bandar paling padat penduduk di dunia, berada di kawasan tanah rendah dan delta sungai. Kenaikan paras laut dan limpahan sungai dijangka mengancam jutaan penduduk bandar ini menjelang 2100.
5. Venice (Itali)
Venice, bandar bersejarah yang terkenal di dunia, telah lama bergelut dengan fenomena air pasang tinggi. Walaupun dilindungi sistem benteng bergerak, pakar memberi amaran bahawa kenaikan paras laut global boleh menyebabkan bandar ini terus mengalami banjir yang lebih kerap.
6. Virginia Beach (Amerika Syarikat)
Bandar pesisir ini berdepan risiko berganda akibat kenaikan paras laut dan penurunan tanah. Banjir kini berlaku dengan lebih kerap di bandar berkenaan.
7. Bangkok
Bangkok dibina di atas tanah lembut di delta Sungai Chao Phraya dan mengalami penurunan tanah akibat pembangunan pesat. Risiko banjir monsun dan limpahan sungai semakin meningkat dari tahun ke tahun.
8. New Orleans (Amerika Syarikat)
Sebahagian besar kawasan New Orleans sudah berada di bawah paras laut dan bergantung sepenuhnya kepada sistem benteng dan pam air. Ancaman taufan serta kenaikan paras laut menjadikan bandar ini sangat terdedah kepada risiko tenggelam.
9. Rotterdam (Belanda)
Walaupun terkenal dengan sistem perlindungan banjir tercanggih di dunia, Rotterdam tetap berisiko kerana kedudukannya di bawah paras laut. Bandar ini memerlukan usaha berterusan bagi memastikan keselamatan jangka panjang.
10. Alexandria (Mesir)
Bandar pesisir Mediterranean ini berdepan hakisan pantai serta kenaikan paras laut yang mengancam kawasan penempatan dan tapak bersejarah. Pakar memberi amaran bahawa sebahagian kawasan Alexandria boleh tenggelam sekiranya langkah perlindungan tidak diperkukuh.