SHAH ALAM – Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) mempersoalkan kesesuaian cadangan pemindahan ladang ternakan babi berskala besar ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Presidennya, Mohd Yusaimi Md Yusof berkata, persoalan timbul selagi kerajaan negeri gagal mengemukakan pelan lengkap projek tersebut termasuk lokasi sebenar, reka bentuk ladang, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).
Menurut beliau, sehingga kini cadangan kerajaan Selangor masih kabur dan tidak mengikut prosedur asas pembangunan yang sepatutnya dipatuhi sama ada oleh pihak swasta mahupun kerajaan.
“Sebarang projek pembangunan wajib mempunyai pelan menyeluruh merangkumi reka bentuk, susun atur ladang, sistem rawatan sisa serta kelulusan pihak berkuasa tempatan sebelum boleh dinilai dari sudut alam sekitar.
“Isu ini sebenarnya mudah, sama ada projek ini dibuat oleh swasta atau kerajaan sekalipun, mesti ada struktur lengkap termasuk bangunan, sistem dan pelan kerana ia penting untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Yusaimi turut mempersoalkan ketiadaan laporan EIA dan SIA walaupun projek tersebut dikatakan melibatkan kawasan luas serta berisiko menjejaskan sumber air.
“Mana EIA dan SIA? Bila sesuatu pembangunan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan, mesti dibuka ruang untuk orang awam melihat dan mengemukakan bantahan tetapi sampai sekarang perkara ini belum ada,” jelas beliau.
Mengulas dakwaan penggunaan teknologi ‘zero discharge,’ beliau berkata, konsep itu tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan teknologi sebaliknya aspek pemantauan jangka panjang perlu diperincikan.
“Masalah utama bukan sistem semata-mata, tetapi bagaimana kaedah pemantauan dilakukan. Sungai ini mengalir, jadi apabila berlaku pencemaran, sebelum pegawai sampai ke lokasi, air itu sudah hanyut ke tempat lain. Jadi di mana bukti pencemaran itu berlaku?” soal beliau.
Mohd Yusaimi berkata, meskipun kawasan projek didakwa mempunyai zon penampan, risiko pencemaran tetap wujud selagi sistem sebenar yang digunakan tidak didedahkan secara terperinci.
“Walaupun dikatakan ada buffer zone, risiko tetap ada sebab kita nak tahu sistem apa yang digunakan dan apakah standard pelepasan sisa yang ditetapkan.
“Jangan sekadar sebut ‘zero discharge’ tanpa bukti,” tegas beliau.
Mohd Yusaimi memaklumkan GRASS menetapkan beberapa kriteria utama alam sekitar sebelum sesuatu lokasi boleh dipertimbangkan, antaranya tidak berada dalam lembangan sungai dan kawasan tadahan sumber air.
“Lembangan sungai di hulu ini penting kerana ia membekalkan air kepada loji rawatan. Sungai Selangor sahaja mempunyai beberapa pengambilan air. Jadi, sejauh mana risiko itu sanggup kita ambil?” katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa kawasan Bukit Tagar tidak mempunyai penempatan, sebaliknya menyatakan terdapat ladang dan estet di kawasan berkenaan.
“Ada yang kata kawasan itu tiada penduduk. Saya cabar pergi tengok sendiri, ada estet di situ. Jadi, jangan kata kawasan itu kosong,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusaimi menegaskan GRASS tidak menolak sepenuhnya keperluan memusatkan ladang ternakan babi bagi mengurangkan pencemaran, namun menegaskan proses dan ketelusan mesti diutamakan.
“Kita bukan tolak sepenuhnya. Kita faham keperluan setempat dan isu pencemaran sungai yang kerap berlaku.
“Cuma empat perkara mesti jelas, iaitu lokasi sebenar, pelan projek, EIA dan SIA. Selagi semua ini tidak dikemukakan, isu alam sekitar akan terus menjadi tanda tanya dan sukar untuk kami menyatakan sama ada projek ini sesuai atau tidak,” tegas beliau.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar akan disegerakan sebelum hujung tahun ini.
Bagaimanapun, penduduk empat tanah rancangan Felda di daerah ini memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan kerajaan negeri agar tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang tersebut yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.