Suami isteri 'dikurung', tukang urut larikan diri

Iklan
Anggota Bomba menyelamatkan pasangan suami isteri yang terperangkap di dalam premis urutan kaki gara-gara warga asing melarikan diri.

AMPANG – Sepasang suami isteri warga emas warga tempatan berdepan detik mencemaskan apabila mereka 'terperangkap' di dalam premis urutan di sebuah pusat beli belah Galaxy Ampang di sini pada Sabtu.

Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian, dia menemani isterinya sedang menjalani urutan kaki sebelum serbuan Jabatan Imigresen Malaysia.

Iklan
Iklan

"Operasi itu menyebabkan tiga pekerja warga asing yang berada di dalam premis bertindak melarikan diri dan mengunci pintu kaca premis berkenaan," katanya.

Susulan insiden tersebut, pihak bomba terpaksa dipanggil bagi membantu membuka pintu untuk mengeluarkan pasangan terbabit.

Iklan

Wartawan Sinar Harian yang mengikuti operasi itu menyaksikan beberapa wanita warga asing menangis dan merayu supaya dibebaskan.

Seramai 217 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan secara berasingan dalam operasi yang dijalankan di dua pusat beli belah sekitar ibu negara pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, sebanyak 13,910 operasi telah dijalankan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 239,326 individu pada tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan tersebut, seramai 92,360 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan, selain 2,163 majikan yang turut dikenakan tindakan," katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Januari 2026, Imigresen telah melaksanakan sebanyak 504 operasi dengan pemeriksaan melibatkan 5,970 individu.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,759 PATI ditahan manakala 35 majikan turut diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.