SHAH ALAM – PAS Selangor mendakwa kerajaan negeri itu terlalu mengagungkan kaedah penternakan babi di Pulau Pinang sehingga mahu meniru model sama bagi projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor, walaupun masalah pencemaran masih belum selesai sepenuhnya.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, langkah itu amat membimbangkan kerana sistem ladang babi moden yang dilaksanakan di Pulau Pinang sendiri berdepan pelbagai kelemahan termasuk isu pengurusan najis dan risiko pencemaran alam sekitar.
Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang pada 2024 memaklumkan sebanyak 117 ladang babi telah dinaik taraf kepada konsep ladang tertutup dengan dua ladang berskala besar terletak di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dan Valdor, Jawi.
“Di Valdor, najis babi dikatakan disalurkan ke fasiliti biogas, namun di Kampung Selamat pula masih menggunakan kaedah kolam kumbahan.
“Ini kononnya ladang tertutup yang sudah dinaik taraf sama seperti yang Selangor mahu buat di Bukit Tagar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Yusfarizal berkata, dakwaan pencemaran sudah dapat dikawal adalah jauh daripada realiti apabila pencemaran dan bau busuk najis babi di Sungai Kereh, Tasek Gelugor masih berlaku.
Beliau berkata, sebagai langkah sementara, kerajaan Pulau Pinang pernah mencadangkan agar najis babi dari Kampung Selamat diangkut ke Valdor melalui jalan darat menggunakan lori, namun cadangan itu akhirnya diakui tidak dapat dilaksanakan kerana risiko penularan penyakit semasa proses pengangkutan.
“Kerajaan negeri sendiri mengakui pada 16 Mei 2025 bahawa cadangan ‘bijak’ itu gagal.
“Lebih menyedihkan, fasiliti biogas di Kampung Selamat pula dibatalkan dan diganti dengan sistem Quantum Thermal Pyrolysis Cracking (QTPC) yang kini masih di peringkat projek perintis,” tambahnya.
Beliau mempersoalkan keberkesanan sistem itu kerana didakwa belum terbukti berjaya sambil menyifatkan pengurusan sisa ladang babi di Pulau Pinang sebagai masih tidak jelas hala tujunya.
“Lebih parah, Kerajaan Selangor kagum sangat dengan kaedah Pulau Pinang dan mahu meniru.
“Saya nak tanya, mahu tiru apa? Angkut najis naik lori? Biogas yang tak menjadi? Atau QTPC yang kita pun tak faham sistemnya?” soal beliau.
Yusfarizal turut menegaskan, walaupun konsep ladang berpusat boleh membantu dari segi pemantauan, risiko akan menjadi jauh lebih besar jika kaedah pengurusan sisa masih bermasalah.
“Ladang berpusat skala mega bukan sahaja berisiko menjadi bencana alam sekitar, malah melibatkan kos tinggi dan model perniagaan yang mungkin tidak berdaya maju.
“Apabila projek tidak ‘viable’, kita semua tahu apa kesudahannya,” katanya.
Beliau turut menyindir kemungkinan terburuk sekiranya masalah tidak ditangani dengan teliti.
“Jangan sampai nanti najis babi di Bukit Tagar pula terpaksa diangkut ke Valdor, Pulau Pinang. Itu boleh jadi jahanam satu negara,” tambah beliau.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, penduduk empat FELDA di daerah ini memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi cadangan pemindahan ladang ternakan babi secara berpusat ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, namun bersedia menyemak semula pilihan lokasi lain sekiranya terdapat keperluan.
Beliau berkata, setakat ini tiada tapak lain yang diputuskan untuk memindahkan semua ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar.