KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO perlu mengakui bahawa parti itu masih terperangkap dalam sindrom penafian apabila gagal menunjukkan kebimbangan terhadap masa depan parti, meskipun berdepan kekalahan teruk dalam pilihan raya sebelum ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kepimpinan parti perlu menilai semula pendirian tersebut, termasuk sejauh mana mereka benar-benar berjaya membawa dan menyuarakan aspirasi rakyat.
Ujar beliau, justeru Perhimpunan Agung UMNO (PAU) seharusnya dijadikan platform tertinggi parti untuk menyuarakan suara serta tuntutan rakyat.
"Kita kena mengaku, UMNO ini ada penyakit sindrom penafian dari dulu hingga kini. Bila kita kalah, tetap kata okay.
"Kita kalah dua kali, kita kata tidak apa, yang penting hari ini (UMNO) telah menjadi kerajaan.
"Adakah kita hendak menjadi serpihan sahaja? Hari ini tepuk dada tanya iman," katanya ketika menggulung ucapan penangguhan Ketua Pemuda UMNO sempena PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
Menurut Dr Muhamad Akmal, sudah tiba masanya semua ahli UMNO lantang menyuarakan kritikan dan pandangan mereka terhadap masa depan parti, meskipun hakikat tersebut mungkin pahit untuk didengar.
Kata beliau, pendekatan itu bukan bermakna mereka menentang pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya ia hanya sekadar cerminan suara hati akar umbi.
“Pendekatan kita perlu berbeza. Saya merayu kerana masa depan parti ini berada di tangan kita.
"Jika kita kalah, Presiden yang akan dipersalahkan, bukan saya.
"Ada yang mengatakan saya tidak sehaluan dengan Presiden, tetapi hakikatnya anak yang paling ‘nakal’ selalunya adalah yang paling sayangkan ayahnya,” ujarnya.