KLANG – Sejajar dengan kesinambungan pengiktirafan Klang sebagai Bandaraya Diraja, Wyndham Acmar Klang tampil mempersembahkan Bufet Ramadan 2026 bertemakan Santapan Jalur Sutera yang menjanjikan pengalaman berbuka puasa merentas rasa dan peradaban.
Wyndham Acmar Klang menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, Bufet Ramadan itu akan berlangsung dari hari pertama Ramadan sehingga dua hari sebelum Aidilfitri, iaitu bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026, setiap hari dari jam 6.30 petang hingga 10 malam.
Menurutnya, mengangkat inspirasi laluan perdagangan teragung dunia, tema Santapan Jalur Sutera membawa para tetamu menyusuri perjalanan kulinari yang menghubungkan Timur dan Barat melalui pertukaran budaya, rempah dan tradisi santapan sejak berabad lamanya.
"Daripada Kepulauan Melayu, China, Asia Tengah, Asia Selatan, Timur Tengah hingga ke Mediterranean, setiap hidangan mencerminkan kepelbagaian serta keharmonian budaya, selari dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai perpaduan dan kebersamaan," menurut kenyataan itu.
Sebagai kesinambungan kepada tema-tema terdahulu, Wyndham Acmar Klang terus memperkukuh identitinya sebagai hotel yang menjadikan warisan kulinari sebagai teras pengalaman berbuka puasa.
Lebih 1,000 jenis juadah disasarkan sepanjang bulan Ramadan, sekali gus menjadikan hotel ini antara destinasi pilihan keluarga, rakan taulan serta pelanggan korporat untuk berbuka puasa.
Antara sajian utama yang ditawarkan termasuk pelbagai nasi tradisi, gulai kampung, masak lemak, rendang, sambal serta aneka hidangan warung yang membangkitkan nostalgia masakan tempatan.
Perjalanan rasa diteruskan dengan sajian dari Dinasti Xian dan Han seperti mi tarik Xinjiang, sebelum membawa tetamu menyusuri Spice Route yang menampilkan masakan India dan Asia Selatan yang kaya dengan rempah ratus.
Pengalaman santapan ini diperkaya dengan sentuhan Samarkand dan Mediterranean menerusi hidangan seperti tagine, shakshuka serta pelbagai makanan laut berempah sebelum diakhiri dengan stesen panggang dan laut yang menyajikan kambing golek, makanan laut segar, satay serta otak-otak.
"Setiap stesen direka untuk mencerminkan perhentian penting di sepanjang Jalur Sutera, menjadikan bufet ini bukan sekadar jamuan, tetapi sebuah penceritaan melalui rasa," menurut Wyndham Acmar Klang.
Keunikan berbuka puasa di Wyndham Acmar Klang turut diserlahkan menerusi ruang makan yang luas dan selesa, selain konsep masakan secara langsung oleh barisan cef berpengalaman, sekali gus memberikan pengalaman seakan-akan berada di bazar Ramadan, namun dalam suasana hotel bertaraf antarabangsa.
Kemudahan surau yang selesa juga disediakan di tingkat mezzanine bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat Maghrib dan Isyak.