Penantian 32 tahun, kakitangan NRES di Sabah bakal miliki kompleks sendiri

Iklan
Arthur (tiga dari kanan) mendengar taklimat berhubung projek pembinaan Kompleks Mini NRES di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Penantian kakitangan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Sabah selama 32 tahun bakal berakhir apabila Kompleks Mini NRES dijangka siap dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, projek pembinaan kompleks itu akan menempatkan empat jabatan di bawah NRES yang sebelum ini beroperasi secara berasingan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

Iklan
Iklan

"Hari ini saya merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Mini NRES yang dibina di atas keluasan tanah 6.7 ekar (2.7 hektar).

"Kompleks ini akan menjadi pusat yang menempatkan empat jabatan di bawah kementerian iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Pejabat Topografi Wilayah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Sabah serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Sabah.

Iklan

"Sebelum ini, empat pejabat ini berselerak, ada di Kota Kinabalu dan ada di Penampang. Jadi, pembinaan kompleks ini akan memusatkan kesemuanya di bawah satu bumbung,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian tapak pembinaan kompleks berkenaan di sini, pada Sabtu.

Arthur berkata, antara faktor utama kelewatan ialah kekangan kewangan selain keutamaan kepada projek-projek lain yang lebih mendesak sebelum ini.

Iklan

"Saya difahamkan ada kekangan kewangan dan  terdapat projek-projek lain yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu. Sebab itu, kita sebelum ini tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menyewa.

"Namun kini, kita akhirnya dapat merealisasikan hasrat untuk memiliki kompleks dan bangunan sendiri. Ini akan menjadi Kompleks Mini NRES untuk Sabah dan seterusnya dapat meningkatkan pengurusan serta kecekapan kerja di kementerian ini," katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan projek pembinaan kompleks berkenaan yang mengambil tempoh 40 bulan dan dijangka siap sepenuhnya awal tahun 2029 dengan kos keseluruhan berjumlah RM80.9 juta.

"Kapasiti petugas masih belum ditentukan dan akan dinilai mengikut keperluan semasa. Apa yang istimewa tentang kompleks ini ialah penerapan ciri-ciri kehijauan bagi memastikan pembinaannya selari dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh elemen hijau dalam industri pembinaan.

"Kompleks ini juga akan dilengkapi dewan serbaguna yang boleh dikongsi bersama, makmal JMG, serta gudang dan pejabat pengurusan bagi MetMalaysia," katanya.