KOTA KINABALU - Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib akan meninjau dengan segera bangunan yang menempatkan murid tadika didakwa berada dalam keadaan daif, seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, lawatan itu akan dibuat dalam masa terdekat dan pemakluman bakal dibuat kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan selanjutnya.
"Berkaitan dengan sekolah daif ini terutama sekali di kawasan luar bandar seperti mana yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Lajong, Kudat, saya akan teliti dan saya akan buat lawatan dengan kadar segera.
"Saya juga akan maklumkan kepada KPM apa masalah yang sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat bersama warga kementerian di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
James berkata, isu sekolah daif di Sabah antara perkara yang akan diberi perhatian memandangkan negeri ini masih ketinggalan dari segi prasarana pendidikan.
"Seperti mana yang kita sediakan maklum bahawa Sabah ini masih jauh ketinggalan dari segi prasarana, terutama sekali sekolah-sekolah di luar bandar ini dan saya akan ambil berat perkara ini.
"Insya-ALLAH kalau ada dalam masa terdekat ini mesyuarat Exco kebangsaan, saya akan bangkitkan beberapa perkara-perkara apa yang perlu dan harus dilakukan oleh KPM terutama sekali di negeri Sabah ini," katanya.
Ditanya mengenai jumlah sekolah daif yang memerlukan naik taraf, beliau memaklumkan lebih 300 sekolah di negeri ini, termasuk dalam kategori skala enam dan tujuh, perlu diberi perhatian.
"Sekolah di Sabah ini lebih 300 dan insya-ALLAH dalam tahun ini kita akan menaik tarafkan banyak juga tetapi nanti saya akan maklumkan pada masa akan datang memandangkan saya belum bertemu dengan pihak KPM.
"Kita akan pertingkat sekolah skala enam dulu sebab peruntukkannya di bawah RM1 juta dan ini lebih cepat disiapkan. Skala tujuh ini kosnya RM1 juta ke atas jadi memerlukan proses yang panjang sedikit.
"Yang kita mahu perbanyakkan di sini adalah skala enam. Kalau ia tidak melibatkan terlalu banyak kerosakan, kita akan buat penyelenggaraan dan pergantian sedikit-sedikit sekolah-sekolah yang daif di bawah peruntukan RM1 juta," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin memaklumkan bahawa tadika berkenaan berada di bawah pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
"Saya mengambil maklum tentang isu yang berlaku di SK Lajong berkaitan dengan bangunan tadika dan untuk makluman, tadika itu bukan di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, sebaliknya di bawah Kemas.
"Jadi kita berharap pihak berkaitan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan anak-anak yang belajar di tadika berkenaan dapat meneruskan persekolahan mereka," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan sebuah bangunan tadika d Kampung Lajong, Kudat didakwa berada dalam keadaan daif dengan dindingnya berlubang, lantai rosak dan bumbung zink yang rapuh.
Keadaan tidak selamat itu menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tersebut.