SPRM syor tujuh penambahbaikan tatakelola LKIM Sabah libatkan PNK

Iklan
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah (lima dari kiri) dan Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat (lima dari kanan) bergambar di hadapan pejabat LKIM Sabah di sini pada Selasa.

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan tujuh syor penambahbaikan tatakelola kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sabah susulan isu pengurusan wang pendahuluan diri melibatkan program dan aktiviti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, berkata syor itu dikemukakan berdasarkan hasil siasatan awal berhubung pengurusan pendahuluan diri Pengurus Besar PNK yang mendapati wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara syor penambahbaikan yang dicadangkan ialah mewujudkan akaun bank khas bagi penggunaan dan penerimaan wang pendahuluan diri atas nama jawatan “Pengurus Besar”, selain menggubal satu garis panduan khusus berkaitan pemberian pendahuluan diri kepada Pengurus Besar PNK oleh LKIM.

“Selain itu, laporan perbelanjaan sebenar berserta bil sokongan perlu dikemukakan oleh Pengurus Besar dalam tempoh tujuh hari selepas program selesai dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah (kiri) menerima dokumen yang telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat di pejabat LKIM Sabah pada Selasa.

Menurutnya, SPRM Sabah turut mencadangkan pelaksanaan pemantauan dan semakan terhadap penggunaan wang pendahuluan diri setiap kali program PNK dijalankan.

Iklan

“Ia juga melibatkan pindaan Pekeliling Pendaftar Bil. 1 Tahun 2017 – Perkara 3.1 dengan menyatakan takrif ‘pendahuluan diri’ merujuk kepada pengeluaran wang dalam bentuk cek atas nama Pengurus Besar Persatuan Nelayan yang ditunaikan bagi perbelanjaan khusus untuk menguruskan projek kontrak yang ditawarkan oleh LKIM atau pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, pindaan itu juga menegaskan bahawa pendahuluan diri tidak dibenarkan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Pengurus Besar.

Jelasnya, kelemahan yang dikenal pasti berpotensi membuka ruang dan peluang berlakunya salah guna kuasa serta penyelewengan sekiranya tidak ditangani melalui penambahbaikan tatakelola yang berkesan.

Sementara itu, Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat, menyambut baik cadangan penambahbaikan berkenaan dan memaklumkan pihaknya bersetuju untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang ditemui.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara Pengarah SPRM Sabah dan Ketua Pengarah LKIM di pejabat LKIM Sabah, di sini.