KEPALA BATAS - Suami kepada pelakon Nadia Kesuma merayu kerajaan Malaysia segera menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya yang dilaporkan hilang sejak 14 Januari lalu.
Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata, kehilangan isterinya kini memasuki hari keempat dan masih kekal menjadi misteri, justeru tindakan segera amat penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk.
"Saya rasa saya bukan sesiapa. Kalau menteri atau kerajaan Malaysia campur tangan, mungkin lebih baik. Mungkin lebih cepat. Kalau saya yang bercakap, mungkin ambil masa dua tiga hari, tapi kalau menteri yang hubungi rakan sejawat mereka, mungkin ambil dua tiga minit sahaja. Kita tahu masa sangat penting. Saya tidak mahu memikirkan perkara buruk… itu sahaja," kata Muhammad Kamarul.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Taman Bertam Putra, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, ahli keluarga isterinya telah membuat laporan kepada Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah, yang kini memberikan panduan mengenai tindakan yang perlu diambil.
Buat masa ini, beliau dinasihatkan agar kekal berada di Malaysia dan tidak terbang ke Jeddah bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan, selain faktor kekangan bahasa kerana beliau tidak fasih berbahasa Arab.
Namun begitu, Muhammad Kamarul menyatakan beliau sentiasa bersedia berangkat ke Jeddah pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
Menyentuh mengenai tabiat isterinya, beliau berkata Nadiah seorang yang gemar mengembara dan lazimnya akan memaklumkan lokasi kepada keluarga setiap kali tiba di sebuah negara.
Namun kali ini, pelakon berkenaan langsung tidak menjawab panggilan mahupun membalas mesej selepas dilaporkan tidak menaiki penerbangan seterusnya dari Jeddah.
"Semuanya normal sehingga sebelum Zohor. Selepas Zohor, saya kurang pasti, saya terima panggilan daripada agensi pelancongan yang memaklumkan Puan Nadia tidak menaiki penerbangan.
"Ketika itu saya sangka mungkin dia terlepas penerbangan, sebab kadang-kadang orang boleh terlepas. Dalam kereta api dia ada beritahu tidak selesa tidur, jadi saya fikir mungkin dia terlena di tempat lain dan terlepas penerbangan.
"Kemudian saya terima mesej daripada agensi pelancongan dan mutawwif, memaklumkan dia memang tidak berada dalam penerbangan. Yang paling merisaukan ialah apabila kami cuba hubungi dan mesej dia, tetapi tiada sebarang balasan," kongsi Muhammad Kamarul lagi.
Menurutnya lagi, anak mereka turut menggunakan aplikasi penjejak yang menunjukkan telefon Nadiah masih berada di kawasan lapangan terbang berkenaan, namun baterinya semakin lemah.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Nadiah Kasumawati Abdul Karim yang juga pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Nadia Kesuma menyertai kumpulan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan bersama 21 peserta lain, bermula 14 hingga 28 Januari ini. - Awani