Sumbat PATI dalam ruang simpanan ikan

Iklan
Maritim Malaysia menggagalkan cubaan menyeludup PATI melalui perairan Kuala Selangor pada Jumaat. Foto Maritim Malaysia

KUALA SELANGOR - Taktik sindiket menyembunyikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam ruang simpanan ikan pada bot kayu untuk diseludup keluar dari negara digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2 siri 1/2026 telah mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di perairan Kuala Selangor sebelum ditahan kira-kira jam 4.15 pagi.

Iklan
Iklan

“Vesel tersebut telah diarahkan berhenti untuk pemeriksaan namun juragan bot enggan mematuhi arahan dan melarikan diri.

"Selepas kira-kira 15 minit bot kayu itu dikejar, anggota operasi berjaya memintas dan menahannya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sebuah bot yang membawa PATI berjaya ditahan Maritim Malaysia di perairan Kuala Selangor pada Jumaat. Foto Maritim Malaysia

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati seramai 28 PATI berada di dalam bot itu, selain seorang tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia.

Iklan

Menurutnya, tangkapan warga asing itu terdiri daripada 23 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 24 hingga 60 tahun yang dipercayai cuba keluar dari Malaysia secara haram selain gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," ujarnya.

Mohd Fairusnizam menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan rondaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan migran di perairan negara.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau sebarang insiden di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," ujarnya.