KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) Vietnam jenis pukat tundayang menceroboh perairan negara selepas hampir satu jam aksi mengejar.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira 144 batu nautika dari Kuala Terengganu selepas dikesan sedang menarik pukat ketika rondaan dijalankan jam 12.30 tengah hari pada Khamis.
Menurutnya, usaha menahan vesel terbabit berdepan cabaran apabila ia cuba melarikan diri dan melanggar kapal peronda Maritim Malaysia sebelum berjaya ditahan.
"Pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh tiga kru termasuk seorang tekong warga asing berusia antara 19 hingga 45 tahun.
"Ia juga didapati beroperasi tanpa lesen dan dokumen sah selain menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua kru bersama vesel terbabit telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan undang-undang berkaitan.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM1.5 juta.
"Sekiranya disabitkan kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM6 juta kerana menceroboh perairan Malaysia atau menangkap ikan tanpa permit sah.
"Setiap kru atau anak kapal pula boleh dikenakan denda maksimum RM600,000," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan keselamatan perairan negara serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.