MINDEF dapatkan maklumat, penjelasan lanjut pembekuan perolehan

Iklan
Mohamed Khaled berkata, pihaknya akur dengan arahan Perdana Menteri berhubung pembekuan tersebut.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berhubung arahan pembekuan sementara keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkaitan dengan isu rasuah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akur dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembekuan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kementerian akan meneliti perincian pelaksanaannya selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan dan perundangan yang berkuat kuasa.

"Dalam meneliti perkara ini, kementerian sewajarnya perlu memberi pertimbangan serius terhadap keperluan memastikan tahap kesiapsiagaan serta kelangsungan operasi pertahanan negara kekal terpelihara dan tidak terjejas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, pada masa yang sama, MINDEF akan menilai secara mendalam implikasi keputusan ini terhadap pelaksanaan perolehan sedia ada, termasuk kontrak yang telah dimeterai, dengan mengambil kira obligasi kontrak semasa, keperluan operasi serta kepentingan keselamatan negara secara menyeluruh.

Tambahnya, sebagaimana yang diumumkan awal minggu ini, MINDEF juga sedang meneliti langkah-langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan.

Iklan

Sebelum itu, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

Mohamed Khaled dalam ucapannya pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 pada 12 Januari lalu berkata, pihaknya merancang rombakan besar-besaran pelan antirasuah tahun ini, termasuk menyemak semula keseluruhan proses tender dan perolehan selaras dengan amalan terbaik tadbir urus.