FIKIR panjang kami apabila sampai ke Kompleks Maqam Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari yang tertelak tidak jauh dari Kota Martapura, Banjarmasin, Indonesia.
Kompleks Maqam itu menempatkan maqam Sheikh Arshad al-Banjari dengan di bahagian sebelah kiri manakala kanannya terdapat maqam keluarga dan rakannya, tempat itu tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.
Kagum kami dengan kisah hidup ulama besar ini seolah-olah seluruh hidupnya dihabiskan untuk ilmu pengetahuan sama ada belajar dan mengajar serta menghasilkan kitab yang banyak.
Sheikh Muhammad Arshad merupakan seorang ulama yang hidup lama di dunia ini iaitu lebih 100 tahun. Beliau menghasilkan puluhan buah kitab besar dalam bidang tauhid, fiqah dan tasawuf.
Antara kitab yang menjadi sebutan ramai seperti Sabil al-Muhtadin dan Tuhfat ar-Raghibin. Bukan itu sahaja, beliau juga menulis semula al-Quran dengan tulisan tangan sendiri yang cantik lengkap 30 juzuk.
Kami berkesempatan melihat naskah al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan di Muzium Lambung Mangkurat itu.
Perjalanan hidup
Sheikh Muhamma Arshad al-Banjari lahir daripada pasangan iaitu Abdullah dan Aminah yang merupakan warga desa Lok Gabang, Martapura.
Melalui ibu bapanya ini Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari memperoleh ilmu sampai usia 8 tahun. Selepas itu beliau meneruskan pengajian di istana Martapura sehingga usia beliau 30 tahun.
Bakat dan kecerdikan membawa tuah kepada Sheikh Arshad al-Banjari. Dalam satu peristiwa Sultan Tamjidullah, sultan kesultanan Banjar pada masa itu sedang ziarah menemui rakyat di kampung Lok Gabang telah tersempak Muhammad Arshad al-Banjari yang sedang melukis.
Sultan terpesona dengan lukisan dan kecerdikan anak tersebut. Sultan lalu mengambil Arshad al-Banjari menjadi anak angkatnya. Sheikh Arshad al-Banjari dididik dan dibesarkan bersama anak sultan di istana dan sultan menjadikannya seperti anak baginda sendiri.
Sebelum berangkat ke Makkah, Sheikh Arshad al-Banjari dikahwinkan dengan seorang gadis bernama Bajut. Semasa berangkat ke Makkah, isterinya tidak ikut sekali.
Di Makkah, Sheikh Arshad belajar dengan ulama tersohor yang ada di sana pada masa itu. Antara mereka Sheikh Ataillah Ahmad al-Azhari (Wafat 1161 Hijrah). Bukan sahaja ilmu agama, Sheikh Arshad belajar pelbagai ilmu termasuk ilmu geografi, biologi, matematik, geometri dan ilmu falak.
Empat serangkai
Semasa berada di Makkah juga, Sheikh Muhammad Arshad mempunyai ramai kawan. Antara mereka yang terkenal dari rantau Nusantara Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Ismail bin Abdullah al-Minangkabawi, Abdul Wahab Bugis dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani.
Hanya sekejap sahaja di sana, mereka kembali semula ke Madinah dan mereka bertemu dengan ulama yang berasal dari Mesir iaitu Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi.
Sheikh Arshad berguru dengan tokoh ini selama beberapa tahun dan sering terlibat dalam pertukaran fikiran mengenai bidang ilmu yang tumpuan ramai pada masa itu.
Sebelum pulang ke tanah air, Sheikh Arshad sempat berguru dengan dengan tokoh tasawuf terkenal iaitu Sheikh Muhammad bin Abdul Karim al-Sammani (Wafat 1776).
Menurut pendapat, berkemungkinan besar Sheikh Arshad mengambil ijazah Tarekat al-Khalwatiyyah dengan gurunya itu, seperti berlaku kepada rakannya Sheikh Abdul Samad al-Falembani. Pada masa ini usia Sheikh Arshad sudah mencapai umur 65 tahun.
Sheikh Arshad juga antara ulama yang dilantik oleh pemerintah untuk mengajar di Masjid al-Haram dalam bidang fiqah Mazhab Shafei.
Kata orang, ilmu itu ada di mana-mana dan tak kira dengan siapa. Ikutkan senioriti, Sheikh Arshad lebih tua daripada Sheikh Daud Abdullah al-Fatani, namun dalam ilmu tidak dikira siapa tua dan siapa muda, dikatakan juga Sheikh Arshad turut belajar dengan Sheikh Daud Abdullah al-Fatani.
Menantu Sheikh Abdul Wahab Bugis
Rupa-rupanya ulama besar sezaman dengan Arshad al-Banjari iaitu Sheikh Abdul Wahab Bugis telah mengambilnya sebagai menantunya.
Gabungan mertua dan menantu ini telah membentuk persekitaran ilmu yang sungguh hebat kepada masyarakat Martapura dan Banjarmasin secara umum sebagai pusat pengajian ilmu terkenal dan pada masa yang sama sebagai pusat perkembangan Islam yang baik.
Sheikh Abdul Rahman Siddiq al-Banjari merupakan cucu kepada Sheikh Arshad al-Banjari menjadi mufti Kerajaan Indragiri, Riau memain peranan penting dalam perkembangan Islam di Indragiri, Riau.
Sheikh Arshad al-Banjari meninggalkan hasil karya yang sangat berharga kepada masyarakat sama ada untuk masyarakat Banjar dan juga di luarnya termasuk Malaysia.
Karya yang dihasilkan kebanyakannya selepas beliau tamat belajar di Makkah dan kembali ke tanah air.
Antara yang terkenal dalam bidang usuluddin ialah Tuhfat al-Raghibin fi Bayan Iman al-Mu’minin, al-Qaul al-Mukhtasar fi ‘Alamat al-Mahdi al-Muntazar. Dan dalam Fiqh pula kitab Sabilal Muhtadin li Tafaqquh Amr al-Din, Luqtah al-Ajlan, Kitab al-Nikah, Kitab al-Faraid, Hasyiyah fath al-Jawad, manakala tasawuf adalah seperti kitab Kanz al-Ma’rifah dan Fath ar-Rahman.
Pendapat beliau terus dipakai sehingga sekarang. Antara pandangan Sheikh Arshad al-Banjari dalam bab ‘orang mati’, beliau berpendapat bahawa sunat membawa buah tangan seperti barang-barang keperluan asas seperti gula, beras dan biskut semasa menziarahi orang mati.
Besar jasa Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari dalam perkembangan Islam di Rantau Nusantara ini. Beliau menghasilkan kitab yang banyak dan mendalam terhadap sesuatu isu. Kitab yang dihasilkan tersebar ke seluruh pelusuk rantau dan dirujuk sehingga sekarang ini.
***Penulis DR FARID MAT ZAIN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Arab & Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).