HULU SELANGOR – Penduduk empat Felda di daerah ini memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.
Penduduk Felda Sungai Tengi Selatan, Khairul Naim Mohd Hassan, 43, berkata, kebimbangan utama penduduk adalah risiko pencemaran sumber air memandangkan lokasi dicadangkan berada paling hampir dengan kawasan Felda berbanding penempatan lain.
"Kami sangat berharap campur tangan Tuanku supaya menitahkan kerajaan negeri tidak membenarkan ladang babi ini dibangunkan di Bukit Tagar,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan aman membantah cadangan berkenaan di sini, Jumaat lalu.
Kira-kira 200 penduduk hadir pada perhimpunan itu termasuk kepimpinan masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO), warga Felda serta penduduk kawasan berhampiran.
Seorang lagi penduduk Felda Sungai Tengi, Azli Miswan, 47, berkata, penduduk berharap ketegasan sama dapat dilaksanakan seperti titah Sultan Selangor sebelum ini berhubung isu ladang babi di Tanjung Sepat.
"Kami minta supaya rancangan ini digagalkan sepenuhnya kerana kawasan ini berhampiran tadahan air dan sudah tentu ia menimbulkan kebimbangan besar kerana boleh menjejaskan bekalan air dan kesihatan awam pada masa depan," jelasnya.
Sementara itu, penduduk Felda Sungai Tengi Selatan, Mohd Asyraf Mohd Hadi, 35, berkata, cadangan itu tidak sesuai kerana majoriti penduduk di kawasan itu adalah masyarakat Melayu Islam selain Bukit Tagar menjadi laluan utama keluar masuk kampung.
"Jika ladang babi dibangunkan di situ, kami bimbang isu bau dan pencemaran akan berlaku, apatah lagi ia berdekatan dengan kawasan penempatan,” katanya.
Mohd Asyraf yang juga bapa kepada lima anak berkata, isu itu boleh memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang.
"Kami menetap di sini untuk jangka masa panjang, jadi kami berharap suara penduduk diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Wakil penduduk Kampung Bestari Jaya, Muhammad Fadhil Hamzah, 39, berkata, kebimbangan utama melibatkan risiko pencemaran air, bau busuk serta kemungkinan penularan wabak penyakit sekiranya penternakan tidak diselenggara dengan baik.
"Laluan air dari Bukit Tagar akan mengalir ke Sungai Selangor yang mempunyai tiga hingga empat loji rawatan air yang disalurkan ke seluruh Lembah Klang.
"Jika berlaku pencemaran, kesannya bukan setakat kawasan sekitar, tetapi melibatkan bekalan air berjuta penduduk,” jelasnya.
Menurutnya, isu itu turut menyentuh aspek kebersihan dan sensitiviti umat Islam kerana kawasan itu berhampiran penempatan majoriti Melayu Islam.
"Kami amat menitikberatkan soal kebersihan sumber air dan isu ini bukan dalam lingkungan 20 kilometer sahaja, sebaliknya memberi kesan besar kepada Lembah Klang,” katanya.
Muhammad Fadhil berkata, pengalaman lalu menunjukkan pusat penternakan atau penyembelihan berskala kecil sekalipun boleh memberi kesan kepada persekitaran terutama dari segi bau.
"Di Rawang sebelum ini, pusat berskala kecil pun sudah menyebabkan bau yang kurang menyenangkan, apatah lagi jika penternakan berskala besar,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Fadhil menggesa kerajaan negeri meneliti semula lokasi cadangan dan mempertimbangkan kawasan lebih strategik sekiranya industri itu bertujuan eksport.
"Jika untuk eksport, carilah kawasan berhampiran pelabuhan atau lokasi yang memang sudah sedia ada seperti di Pulau Ketam.
"Kita juga ada sejarah wabak penyakit di kawasan tertentu sebelum ini dan perkara itu perlu dijadikan pengajaran,” katanya.
Anak jati Kampung Soeharto, Datuk Mohd Khairudin Mohamad, 54, berkata, penduduk terkejut apabila dimaklumkan saiz ladang dicadangkan mencecah kira-kira 202 hektar hampir menyamai keluasan sebuah bandar baharu.
"Pada awalnya kami jangka berskala kecil, rupa-rupanya sangat besar dan ini menimbulkan kebimbangan serius kepada penduduk,” katanya.
Menurutnya, kawasan Bukit Tagar sebelum ini sudah terkesan dengan kewujudan tapak pelupusan sisa pepejal Lembah Klang dan penambahan projek besar dikhuatiri memburukkan keadaan.
"Kawasan ini juga berhampiran empangan Sungai Selangor, loji rawatan air, Selangor Fruit Valley, Universiti Selangor serta ladang ternakan susu yang baru dilancarkan kerajaan negeri.
"Kami hidup aman damai dengan pembangunan sedia ada, namun tiba-tiba menerima berita yang amat mengecewakan ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohd Khairudin merayu perkenan Sultan Selangor supaya menitahkan kerajaan negeri membatalkan sepenuhnya projek penternakan babi secara komersial berskala besar di Bukit Tagar.
"Kami menjunjung kasih dan merafak sembah kepada Tuanku agar mendengar rintihan rakyat di sini.
"Kami mohon projek ini dibatalkan dan jika perlu, carilah alternatif lain yang jauh daripada kawasan penduduk khususnya penempatan majoriti Melayu Islam,” katanya.