HULU SELANGOR - Penduduk Felda di sekitar Hulu Selangor akan meneruskan perhimpunan pada Jumaat bagi membantah cadangan memindahkan pusat penternakan babi dari Tanjung Sepat ke Bukit Tagar yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.
Penduduk, Zainuddin Ibrahim berkata, perhimpunan secara aman itu akan diadakan selepas solat Jumaat di simpang masuk Felda Sungai Tengi Selatan dan dijangka disertai penduduk dari empat kawasan Felda berhampiran.
Menurutnya, Felda Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi Selatan, Felda Gedangsa dan Felda Soeharto merupakan kawasan yang paling hampir dengan lokasi cadangan ladang babi seluas dua hektar itu.
“Bukit Tagar terlalu dekat dengan kawasan kami, dengan jarak kurang 10 kilometer. Malah, sebelum ini kami sudah dihantui kewujudan tapak pelupusan sampah di kawasan itu dan kini tidak mahu pula menanggung kesan pergerakan lori-lori membawa babi serta risiko pencemaran pada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian.
Zainuddin berkata, penduduk turut bimbang risiko pencemaran sumber air memandangkan kawasan tersebut berhampiran Sungai Selangor, yang menjadi sumber bekalan air utama negeri ini.
“Kawasan Bukit Tagar juga menempatkan beberapa loji rawatan air (LRA). Kalau berlaku kebocoran atau aliran sisa, kesannya mungkin bukan sekarang, tetapi 10 hingga 20 tahun akan datang,” jelasnya.
Menurutnya, perhimpunan itu dianjurkan oleh penduduk sendiri tanpa melibatkan mana-mana parti politik atau pertubuhan.
“Kami cuma membawa suara warga Felda yang tidak bersetuju dan akan menyatakan bantahan ini secara aman,” katanya.
Difahamkan, perhimpunan itu akan berlangsung bermula jam 3.30 petang di lokasi berkenaan.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan bahawa perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor, akan disegerakan sebelum hujung tahun ini.