HKI 2026: Memperkasa perlindungan kanak-kanak dalam ekosistem digital negara

Iklan
Penggunaan internet tanpa kawalan memberi ancaman besar kepada kesejahteraan masyarakat terutama kanak-kanak. Foto hiasan

SHAH ALAM - Seiring dengan perkembangan pantas sektor digital, landskap keselamatan Internet di Malaysia dan peringkat global juga semakin bergerak ke hadapan dengan berpaksikan matlamat sama iaitu melindungi pengguna.

Namun, kewujudan Internet yang pada asalnya menjadi tulang belakang bagi memudahkan pelbagai urusan harian merangkumi pendidikan, perniagaan, komunikasi dan hiburan, turut tidak terkecuali berdepan dengan risiko.

Iklan
Iklan

Penggunaan Internet tanpa batasan atau kawalan dan kurang kefahaman turut mendedahkan pengguna terutama kanak-kanak kepada risiko buli, penipuan serta kandungan tidak sesuai.

Menyedari akan ancaman tersebut, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi sentiasa tampil dengan pelbagai kaedah atau usaha untuk mendidik masyarakat supaya menggunakan teknologi secara selamat, bertanggungjawab dan beretika.

Iklan

Sejajar dengan usaha pihak kerajaan itu, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) juga telah secara rasminya dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu yang antaranya bertujuan untuk memastikan matlamat penggunaan Internet selamat tercapai.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Muhamad Fazil Ahmad berkata, Internet dan media sosial bukan lagi sekadar alat komunikasi, sebaliknya telah menjadi ruang sosial utama yang membentuk pemikiran, tingkah laku dan emosi masyarakat, khususnya kanak-kanak dan golongan muda.

Iklan
MUHAMAD FAZIL

"Peningkatan penggunaan peranti mudah alih, algoritma kandungan yang agresif serta kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) telah mempercepat penyebaran maklumat, termasuk kandungan memudaratkan.

"Dalam konteks ini, inisiatif berterusan oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat signifikan kerana ancaman di alam maya hari ini tidak mengenal sempadan geografi dan memerlukan pendekatan keselamatan yang lebih menyeluruh serta keupayaan untuk menyesuaikan diri.

"Antara cabaran utama yang dihadapi ketika ini ialah perlindungan kanak-kanak dalam talian yang semakin sukar dikawal. Kanak-kanak terdedah kepada risiko seperti buli siber, pemangsaan seksual, penipuan serta kandungan tidak sesuai tanpa pengawasan mencukupi," katanya kepada Sinar Harian.

Menyentuh mengenai cabaran literasi digital dan penipuan siber hari ini, Muhamad Fazil yang juga pakar dalam bidang berkenaan berkata, tahap literasi digital masyarakat di Malaysia masih tidak seimbang.

Beliau berpendapat bahawa ramai pengguna celik teknologi dari segi penggunaan, tetapi kurang kefahaman tentang keselamatan, privasi dan implikasi jangka panjang tingkah laku masing-masing dalam ruang Internet.

"Penipuan siber pula semakin canggih, menggunakan manipulasi emosi, penyamaran identiti dan kandungan palsu yang sukar dibezakan, manakala isu kesejahteraan digital seperti ketagihan skrin, tekanan mental dan gangguan emosi semakin ketara dalam kalangan remaja.

"Bentuk ancaman dalam talian yang paling membimbangkan ketika ini ialah ancaman yang bersifat senyap dan berpanjangan. Ini termasuk grooming (pengantunan) dalam talian, penyebaran kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan kewangan bersasar, serta pendedahan berterusan kepada kandungan toksik yang menormalisasikan keganasan, kebencian atau gaya hidup berisiko," jelas Muhamad Fazil.

Beliau menambah, ancaman tersebut tidak semestinya berlaku secara mendadak, tetapi berkembang secara berperingkat dan memberi kesan jangka panjang terhadap keselamatan, emosi dan perkembangan psikososial mangsa, khususnya kanak-kanak yang masih belum matang untuk menilai risiko dalam talian.

Cabaran utama

Sementara itu, pakar psikologi kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, kesejahteraan digital perlu dilihat sebagai keseimbangan antara penggunaan teknologi dan kesihatan mental, emosi serta tingkah laku individu.

FAUZIAH

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai cabaran sebenar berhubung aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian di negara ini.

"Antara cabaran utama ialah jurang literasi digital antara kanak-kanak, ibu bapa dan pendidik. Ramai kanak-kanak lebih mahir menggunakan teknologi berbanding orang dewasa, menyebabkan pemantauan menjadi sukar.

"Selain itu, ibu bapa juga berdepan kekangan masa, pengetahuan dan kemahiran untuk memahami risiko digital yang sentiasa berubah. Cabaran lain termasuklah sifat dunia siber yang pantas, tanpa sempadan dan sukar dikawal sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, pendedahan awal kepada media sosial, permainan dalam talian dan kandungan tanpa kawalan dalam kalangan kanak-kanak boleh memberi kesan kepada perkembangan emosi, tingkah laku dan pembentukan identiti diri.

Ini kerana katanya, golongan berkenaan lebih terdedah kepada tekanan sosial, perbandingan diri, buli siber dan normalisasi tingkah laku tidak sihat kerana keselamatan Internet bukan sekadar isu teknikal, tetapi isu perkembangan kanak-kanak secara holistik merangkumi emosi, sosial serta kesejahteraan mental.

HKI jadi platform kukuhkan budaya guna internet selamat

Dalam pada itu, menyentuh mengenai kepenting kesedaran dan tanggungjawab bersama menjelang Sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang akan berlangsung 8 Februari ini, Muhamad Fazil berkata, keselamatan Internet tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada bahu kerajaan atau agensi penguat kuasa semata-mata.

Hari Keselamatan Internet 2026 akan diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 8 Februari 2026

Sebaliknya beliau menjelaskan, ia memerlukan penglibatan aktif ibu bapa, pendidik, platform digital, industri teknologi dan masyarakat secara keseluruhan.

"HKI 2026 wajar dijadikan platform untuk mengukuhkan budaya penggunaan internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, di samping memperkasa kanak-kanak dan golongan muda dengan kemahiran literasi digital yang bukan sahaja mengajar cara menggunakan teknologi, tetapi juga cara melindungi diri, menghormati orang lain dan menjaga kesejahteraan mereka sendiri.

"Oleh itu, dalam era yang semakin mencabar, keselamatan Internet ialah satu usaha berterusan yang menuntut kesedaran kolektif, dasar yang progresif dan pendidikan yang konsisten," katanya.

Ujar beliau, inisiatif seperti HKI 2026 mencerminkan komitmen penting negara dalam memastikan ruang digital kekal sebagai persekitaran yang selamat, positif dan menyokong pembangunan generasi masa hadapan.

Sambutan HKI 2026 itu akan memberi tumpuan terhadap usaha mempromosikan penggunaan Internet dan Al secara selamat, bertanggungjawab dan beretika.

MCMC dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa acara komuniti berskala besar yang menghimpunkan pendidikan keselamatan digital, teknologi pintar serta hiburan mesra keluarga tersebut akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Acara sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara itu bertujuan mempromosi penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda.