SPRM perlu cekap, pantas tangani persepsi masyarakat

Iklan
AZAM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak secara cekap dan pantas dalam menangani persepsi awam supaya sebarang maklumat tersebar tidak terus dipercayai masyarakat tanpa penjelasan rasmi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) Tan Sri Azam Baki, berkata persepsi tidak dapat dielakkan dan orang ramai bebas membentuk pandangan sama ada positif atau negatif terhadap sesuatu isu.

Iklan
Iklan

"Kita jangan hidup dalam alam lain, kita perlu sedar realiti, persepsi ini tidak boleh ditahan dan kita tidak mampu menghalang orang ramai mengeluarkan pandangan sama ada positif atau negatif.

"Apa yang penting kaedah untuk menanganinya dan segera memberikan jawapan atau maklum balas," katanya pada Sabtu.

Iklan

Katanya, kelewatan memberi penjelasan terhadap sesuatu isu yang kritikal boleh menyebabkan persepsi negatif diterima sebagai kebenaran dalam tempoh singkat.

"Jika sesuatu perkara atau isu itu tidak dijawab, dalam tempoh 24 jam orang akan mula mempercayainya.

Iklan

"Sebab itu kita perlu cepat dan dalam hal ini, saya berterima kasih kepada Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM yang sentiasa berusaha menangani persepsi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff, berkata SPRM sememangnya antara agensi kerajaan yang sering menjadi tumpuan dan sasaran masyarakat.

"Pelbagai persepsi pasti timbul setiap kali SPRM melaksanakan tugasan penguatkuasaan.

"BKS sentiasa memastikan setiap isu dan persepsi yang berlaku dapat ditangani dengan baik dan berhemah,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu mencerminkan kerjasama erat semua bahagian dan negeri di SPRM dalam menangani persepsi berkenaan, selaras dengan panduan serta arahan berterusan pengurusan tertinggi agensi tersebut.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Komunikasi terus memperkasakan komunikasi kerajaan bagi memastikan maklumat berkaitan dasar, program dan bantuan kerajaan disampaikan secara jelas, tepat serta mudah difahami rakyat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan jentera komunikasi kerajaan turut diperkukuh membabitkan pegawai penerangan, pegawai perhubungan awam dan Unit Komunikasi Korporat di semua kementerian serta agensi.