KKR laksana infrastruktur strategik

Iklan
Alexander bersama seorang pelajar melintas jalan raya selepas menggunakan lampu isyarat baharu yang disediakan.

HINGGA ke saat ini, saya masih meneliti pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) sepanjang tahun 2025 dan melihat ruang boleh diperbaiki supaya matlamat kesejahteraan hidup rakyat dapat terus diperkasa.

Walaupun suasana di pejabat dan di mana sahaja amnya sudah kembali normal selepas ramai yang bercuti akhir tahun lalu, tanggungjawab kami di KKR diteruskan tanpa mengira tarikh atau waktu.

Iklan
Iklan

Kerap saya ingatkan kepada warga KKR, Kerajaan Madani bergerak sebagai pasukan yang bekerja dan saling menyokong kerana keutamaannya kekal untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Saya semak senarai pencapaian KKR sepanjang tahun 2025. Ada yang menarik perhatian hingga saya tersenyum, ada yang membuatkan saya sedikit gusar dan mengerut dahi manakala ada juga bahagian yang jelas boleh diperbaiki.

Iklan

Kita tidak punya banyak ruang bersenang-lenang hanya kerana matlamat tercapai dan tugasan dilaksana.

Namun demikian, saya perlu berkongsi pelbagai pencapaian penting KKR tahun lalu yang bukan sahaja menzahirkan kecekapan pelaksanaan projek, malah turut menghadirkan impak langsung terhadap kesejahteraan rakyat, keselamatan pengguna jalan raya dan pembangunan sosioekonomi negara.

Iklan

Sesuai dengan namanya, antara keutamaan KKR tahun lalu ialah memastikan jalan raya yang lebih selamat, kemudahan awam lebih selesa dan sistem penyampaian  lebih responsif terhadap aduan rakyat. Masa bukan untuk dibazirkan.

Alexander bersama pegawai KKR meninjau kerosakan jalan akibat mendapan tanah dalam lawatan tapak, sebagai sebahagian usaha mempercepat pelaksanaan kerja pembaikan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Segala usaha itu diterjemah menerusi pendekatan turun padang, penyelenggaraan berskala besar dan pelaksanaan projek infrastruktur strategik di seluruh negara.

Sebagai menteri, saya jenguk sendiri keadaan sebenar di lapangan. Saya membawa semua pegawai yang berkaitan tanpa mengira panas atau hujan kerana kita bekerja setiap hari. Masalah rakyat tidak mengenal hari biasa atau hujung minggu, maka tindakan kerajaan juga harus begitu.

Keprihatinan terhadap isu harian rakyat dizahirkan melalui pelancaran MYJalan 2.0 pada November 2025, inisiatif yang amat dekat di hati saya dan versi terbaharu ini memperkukuh pengurusan aduan berkaitan jalan raya.

Sepanjang Januari hingga Disember 2025, sebanyak 27,182 aduan diterima dengan 94.40 peratus atau 25,661 aduan dapat diselesaikan.

Pencapaian ini mencerminkan kecekapan sistem respons KKR dan agensinya, pada masa sama rakyat merasakan suara mereka tidak dipandang sepi.

Dalam tempoh sama, sejumlah 36,411 lubang jalan di Jalan Persekutuan ditampal dalam tempoh 24 jam, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselesaan pemanduan.

Mungkin ada yang berseloroh, KKR ini kerjanya menampal lubang jalan sahaja. Percayalah, lubang kecil jika dibiar tanpa tindakan, ukurannya bertambah luas dan  meragut nyawa pengguna.

Ini selalu saya tegaskan kepada pegawai supaya jangan sampai kegagalan kita bekerja sambil lewa membuatkan ada keluarga meratap hiba.

Jalan  raya kekal selamat

Penyelenggaraan ribuan kilometer (km) jalan di semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan berbilion ringgit turut memastikan jaringan jalan negara kekal selamat dan berfungsi.

Mungkin ada tempat yang mengambil masa atas faktor logistik, namun saya berjanji KKR akan sampai ke destinasi itu.

Bagi projek berskala besar, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) mencatat kemajuan keseluruhan 77.5 peratus, dengan beberapa pakej utama sudah siap sepenuhnya termasuk jajaran Raub–Bentong.

Projek ini dijangka memendekkan masa perjalanan dan membuka akses ekonomi baharu kepada kawasan pedalaman.

Mungkin kemudahan ini akan membolehkan pengguna singgah ke lokasi tidak pernah dijejaki, membeli produk penduduk tempatan seperti ikan sungai atau mencari durian kampung!

Di Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan 99.98 peratus. Pencapaian memberangsangkan ini menandakan fasa penting dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Di Sabah, pelaksanaan Pan Borneo diteruskan melalui Fasa 1A dan 1B dengan beberapa pakej kerja menunjukkan kemajuan mendahului jadual.

Projek lorong tambahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuk di Johor dan Pulau Pinang, serta projek penyuraian trafik seperti Sungai Dua–Juru, memberi kelegaan ketara kepada pengguna lebuh raya yang berdepan kesesakan harian.

Saya mendapat banyak maklum balas positif daripada rakyat setempat yang menyifatkan penambahan lorong itu sebagai penyelesaian masalah yang sudah lama ditanggung.

Pembangunan fasiliti awam

KKR turut memberi penekanan kepada pembangunan fasiliti awam yang menyentuh kehidupan seharian rakyat.

Dalam sektor pendidikan, sebanyak 127 projek sekolah berkapasiti tinggi, 22 pojek sekolah daif dan pemasangan sistem solar hibrid di 134 sekolah dilaksanakan ke arah meningkatkan keselesaan pembelajaran serta kelestarian tenaga.

Dalam sektor kesihatan, KKR turut berperanan dalam pembinaan tiga hospital baharu, menaik taraf empat hospital serta pembinaan dan pembaikan klinik kesihatan.

Ini termasuk klinik daif untuk memperkukuh akses rawatan, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.

Aspek keselamatan jalan raya terus semestinya kekal menjadi apabila 33 projek lintasan pejalan kaki searas lampu isyarat (LPKSI) disiapkan sepenuhnya, selain pemasangan lampu jalan di 257 kawasan gelap serta rawatan 76 lokasi hitam kemalangan.

Langkah ini secara langsung melindungi pengguna jalan, khususnya pejalan kaki dan komuniti setempat.

Kemudahan lebuh raya turut dipertingkat dengan naik taraf hentian sebelah, fasiliti awam dan penyediaan titik pengecas kenderaan elektrik (EV), selari peralihan negara ke arah mobiliti hijau yang kian menjadi pilihan.

Bagi saya, pencapaian KKR sepanjang 2025 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan infrastruktur yang besar dari segi skala namun amat dekat dengan keperluan rakyat.

Semuanya berada dalam radar KKR iaitu jalan raya lebih selamat kepada sekolah dan hospital lebih selesa hinggalah sistem aduan yang pantas.

Saya berjanji, KKR tidak akan berhenti di sini. Semua usaha ini menjadi asas penting ke arah kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang lebih seimbang.

KKR akan terus menjadi sebahagian daripada denyut nadi rakyat tanpa mengira masa.