KRPPM-IGAR cadang penelitian menyeluruh Akta SPRM

Iklan
Azli ketika sidang media di Bangunan Parlimen, pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governan dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) mencadangkan supaya penelitian dibuat untuk menyemak keseluruhan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memastikan undang-undang sedia ada kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran rasuah semasa.

Pengerusinya, Azli Yusof berkata, keseluruhan Akta SPRM itu perlu dikaji semula dengan memberi tumpuan khusus kepada pindaan terhadap Akta SPRM 2009, khususnya melibatkan Seksyen 5, 13, 14 dan 15.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semakan perlu dilakukan bagi memastikan peruntukan undang-undang bukan sahaja selaras dengan realiti semasa, malah mampu memperkukuh kebebasan institusi dan meningkatkan keyakinan awam terhadap usaha pencegahan rasuah.

"Cadangan ini antara fokus utama yang dipersetujui dalam mesyuarat pertama KRPPM-IGAR bagi tahun 2026 susulan krisis terkini yang melibatkan institusi tersebut.

Iklan

"Antara cadangan utama ialah penyusunan semula mekanisme pemantauan SPRM, termasuk menyemak lima badan pemantau sedia ada," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, KRPPM-IGAR turut mencadangkan penubuhan sebuah Independent Oversight Board (IOB) yang diperkukuh dengan sembilan ahli bagi menggantikan struktur pemantauan sedia ada.

Iklan

Ujarnya, pelantikan ahli IOB dicadangkan melalui proses saringan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan disahkan melalui undian majoriti di Dewan Rakyat sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, tanpa penglibatan Perdana Menteri.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang diberi mandat memantau SPRM dicadang dijadikan jawatankuasa tetap yang melapor terus kepada Parlimen.

"Dalam aspek kepimpinan, kami mencadangkan agar kuasa pemilihan Ketua Pesuruhjaya dipindahkan daripada Perdana Menteri kepada IOB.

"Melalui mekanisme baharu ini, IOB akan memilih dan menasihati Yang di-Pertuan Agong secara langsung mengenai calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya.

"Tempoh maksimum perkhidmatan pula dicadangkan dihadkan kepada enam tahun, manakala proses penyingkiran hendaklah dilaksanakan melalui tribunal khas bagi menjamin keselamatan jawatan serta akauntabiliti," katanya.

Beliau berkata, bagi memperkukuh akauntabiliti, Jawatankuasa Parlimen di bawah Seksyen 14 Akta SPRM dicadangkan ditambah baik dan dijadikan mekanisme tetap yang bebas daripada kawalan badan Eksekutif.

Ujarnya, cadangan itu merangkumi penambahbaikan terhadap keanggotaan dan proses pelantikan ahli jawatankuasa supaya bebas daripada pengaruh Eksekutif, selain memperluas mandat untuk memantau operasi SPRM dan IOB secara langsung.

Menurut beliau, laporan jawatankuasa tersebut juga dicadangkan dikemukakan terus kepada Dewan Rakyat sebagai langkah memperkukuh ketelusan.

"KRPPM-IGAR turut mengesyorkan agar satu pelan halatuju reformasi SPRM yang komprehensif dirangka melalui inkuiri Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dan disiapkan sebelum 31 Disember 2026.

"Pelan tersebut perlu merangkumi beberapa elemen utama, antaranya, proses pelantikan Pesuruhjaya SPRM yang bebas daripada pengaruh Eksekutif, namun tetap tertakluk kepada kuasa kawal selia Parlimen dan langkah-langkah menjamin pelaksanaan kuasa dan tugas SPRM secara telus serta bertanggungjawab kepada Parlimen.

"Ia juga termasuk sesi konsultasi awam melibatkan masyarakat sivil dan pakar perundangan; penyediaan laporan cadangan penambahbaikan termasuk draf pindaan kepada Akta SPRM 2009; pengemukaan laporan tersebut kepada kerajaan dan penyebaran kepada umum serta Penggubalan Rang Undang-Undang pindaan Akta SPRM 2009 oleh kerajaan berasaskan laporan jawatankuasa, lengkap dengan jadual masa jelas untuk pembentangan dan perbahasan di Parlimen," katanya.

KRPPM turut menegaskan reformasi berkenaan harus dilaksanakan secara tuntas agar institusi ini bebas daripada tanggapan bahawa ia dicengkam oleh pengaruh Eksekutif, memastikan akauntabiliti langsung kepada Parlimen, serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan institusi antirasuah negara.

Justeru, ujarnya, bagi merealisasikan reformasi berkenaan pra syaratnya bergantung kepada kehendak politik, pematuhan kepada garis masa serta kesepakatan mererentas parti ke semua pihak berkepentingan.

"KRPPM secara rasmi akan menyerahkan memorandum reformasi SPRM kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Kami mendesak agar cadangan ini diberikan keutamaan dan diterjemahkan melalui tindakan segera demi merealisasikan pengukuhan integriti negara dan keadilan kepada rakyat," katanya.