KITA dah masuk minggu ke-3 tahun baharu 2026. Bagi mana-mana perniagaan, mengetahui prestasi tahun sebelum ini boleh membantu bagi dijadikan pedoman untuk menjayakan lagi tahun 2026.
Di samping tujuan-tujuan perniagaan, penyata kewangan tahunan juga diperlukan bagi pelbagaiurusan lain. Digunakan untuk kira cukai pendapatan, memperbaharui lesen dan permit serta menyerahkannya kepada pembiaya seperti pemegang saham dan juga institusi kewangan.
Walau bagaimana pun, dari pengalaman, tidak semua usahawan bergegas untuk menutup buku cepat-cepat. Ada yang tidak nampak keperluannya kerana berasa “ini milik aku, ikut suka akulah!”.
Macamana nak tahu untung rugi perniagaan sekiranya penyata kewangan yang berkualiti tidak disediakan? Jumlah wang yang terkumpul di bank itu bukan untung ya. Sekiranya hutang yang ditanggung lebih besar jumlahnya dari baki di bank, itu tanda-tanda perniagaan anda sebenarnya rugi. Inilah pentingnya penyata kewangan disiapkan secepat mungkin.
Selain dari itu, ramai usahawan yang tidak sedar bahawa tanpa penyata kewangan yang berkualiti, mereka akan menghadapi banyak masalah di masa hadapan.
Sebagai contoh, jika Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat kunjungan, tanpa penyata kewangan yang tersedia, risiko denda kerana gagal mematuhi undang-undang cukai adalah tinggi.
Bagi usahawan yang memilih untuk menggunakan struktur syarikat sendirian berhad, menyediakan penyata kewangan yang memenuhi piawaian perakaunan adalah wajib.
Jangan terkeliru dengan pengecualian audit ke atas syarikat-syarikat kecil yang diperluaskan mulai tahun lepas.
Walaupun jualan syarikat anda kurang dari ambang RM 1 juta, apa yang dikecualikan ialah kewajipan diaudit. Kewajipan menyediakan penyata kewangan yang memenuhi piawaian perakaunan tetap wajib dan jika anda gagal berbuat demikian, risiko didenda adalah tinggi juga.
Denda lagi. Bayangkan ada bakal pelanggan besar berjumpa dengan anda dan mahu mempertimbangkan membeli produk anda dengan jumlah yang banyak.
Namun, sebagai kaedah menilai risiko, bakal pelanggan berkenaan mahu memastikan kedudukan kewangan perniagaan anda kukuh dan perniagaan anda mampu mengeluarkan barangan di dalam jumlah yang mereka kehendaki.
Agaknya adalah mereka akan meneruskan hasrat mereka sekiranya anda tidak mampu menyerahkan penyata kewangan perniagaan anda? Mereka bukan sahaja beranggapan kedudukan kewangan anda lemah tetapi boleh juga berpandangan anda bukannya pengurus yang bertanggungjawab. Berisikolah sekiranya mereka membeli dari anda.
Amalan terbaik ialah menyediakan penyata kewangan secara berkala, setiap bulan atau jika susah sangat, setiap satu suku tahunan. Ini merupakan maklumat pengurusan yang kritikal.
Perumpamaan berniaga tanpa penyata kewangan ialah memandu kereta yang mata setiap petunjuk seperti had laju, tahap minyak dan suhu enjin semuanya tak berfungsi. Berani anda membawa kereta di dalam keadaan begitu?
Ada banyak perniagaan yang serius yang mempastikan penyatak kewangan disediakan secepat mungkin. Dengan teknologi yang ada, saya tidak berasa pelik sekiranya seawal minggu pertama bulan yang baharu, penyata kewangan untuk bulan sebelumnya sudah siap.
Ini bermakna usahawan atau pengurusan boleh membuat analisa prestasi secepat mungkin dan boleh bertindak segera berdasarkan pelbagai maklumat dan indikator yang ada.
Satu lagi penyakit berkenaan penyata kewangan ialah melepaskan tanggungjawab berkenaan kepada juruaudit atau ejen cukai.
Sebenarnya, penyata kewangan kena tepat sebelum diaudit lagi. Ejen cukai pun kerjanya mempastikan kita mengira cukai dengan betul, bukannya memperbetulkan penyata kewangan kita.
Menyediakan penyata kewangan yang berkualiti bukan sahaja memberikan kita maklumat untuk bertindak, ianya juga boleh melepaskan perniagaan kita dari denda dan penalti.
Jangan tunggu-tunggu lagi. Pastikan penyata kewangan perniagaan anda disediakan dengan segera. Biar cepat dan selamat.
*Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji