SUNGAI SIPUT - Kelibat tiga ekor harimau belang yang dilihat pengguna jalan ke Perlop 1 di sini sejak beberapa hari lalu menggusarkan penduduk setempat.
Seorang penduduk, Khairol Ariffin Abdullah Jalil, 49, berkata, kelibat haiwan pemangsa itu mula disedari penduduk sejak Selasa sebelum membaham seekor lembu ternakan di dalam ladang kelapa sawit berhampiran pada Rabu.
Menurutnya, situasi itu amat merisaukan penduduk kerana harimau belang itu dilihat berhampiran jalan utama penduduk untuk keluar masuk ke kawasan kediaman mereka.
"Saya sendiri nampak malam semalam lebih kurang jam 8.17 malam. Dua ekor harimau agak kecil, mungkin anaknya bersama seekor harimau dewasa dipercayai ibunya di tepi jalan. Kemudian kami jumpa bangkai lembu yang dibaham pada bahagian kaki di dalam ladang kelapa sawit.
"Apa yang merisaukan kita, jarak bangkai ditemui dengan kawasan kediaman penduduk kurang 500 meter sahaja di Kampung PPMS Perlop 1. Kebanyakan penduduk di sini pula kerja kampung," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Khairol Ariffin berkata, disebabkan keadaan itu, satu laporan dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak agar tindakan dapat diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 30, memaklumkan turut melihat kelibat tiga ekor harimau belang itu ketika melalui jalan tersebut sekitar jam 8.15 malam pada Rabu.
Katanya, ketika itu dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dan terlihat tiga ekor haiwan liar itu di tepi jalan.
"Pada mulanya saya ingatkan anjing tapi saiznya lain sikit. Jadi saya perlahankan kenderaan memang nampak jelas belang haiwan itu dan tak lari pun. Ada juga pengguna jalan lain yang nampak harimau belang itu.
"Ini pertama kali saya nampak sendiri sebab selama ini saya dengar sahaja orang kampung kata ada harimau belang di kawasan ini," katanya.
Jelasnya, jalan tersebut merupakan laluan utamanya untuk pergi bekerja ke Bawong di sini malah ramai yang pergi bekerja melalui jalan berkenaan menaiki motosikal.
Dia berharap Perhilitan dapat melakukan sesuatu bagi memastikan harimau belang yang ditemui itu tidak mengganggu penduduk setempat.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran harimau berkenaan pada Rabu.
Menurutnya, susulan itu pihak Perhilitan sudah memasang dua buah perangkap harimau berhampiran lokasi lembu yang dibaham haiwan liar tersebut.
"Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak keluar ke hutan atau kebun bersendirian dan ketika keadaan gelap.
"Bagi penternak pula, kita nasihatkan mereka pastikan ternakan dikurung dalam kandang yang sesuai," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang terserempak dengan haiwan ini diminta tidak mengganggunya selain memaklumkan segera kepada Perhilitan jika terdapat sekumpulan individu mencurigakan di kawasan berhampiran.
Seramai 12 orang kakitangan Jabatan Perhilitan Perak terlibat memasang dua perangkap berkenaan selain dua kamera perangkap turut dipasang berhampiran lokasi.