IPOH - Tiada penggunaan kata-kata kasar oleh petugas Masjid Jamek Kamunting di Taiping dalam insiden melibatkan seorang wanita yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim menjelaskan, siasatan mendapati kejadian antara jam 10 hingga 11 malam pada 6 Januari itu berpunca daripada salah faham, ketika petugas terlibat memaklumkan mengenai prosedur penutupan masjid.
Menurutnya, semasa kejadian terdapat dua wanita dan seorang lelaki sedang berehat atas kerusi dalam pekarangan masjid.
"Seorang petugas masjid telah memaklumkan kepada salah seorang wanita berkenaan bahawa pintu pagar masjid akan ditutup selepas jam 10 malam.
"Ketika makluman itu dibuat, wanita terbabit telah mengeluarkan kata-kata yang agak kasar terhadap petugas masjid tersebut, namun individu berkenaan tidak membalas dengan kata-kata kesat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, rondaan sekitar jam 11 malam mendapati ketiga-tiga individu itu telah berada di luar pekarangan masjid iaitu di hadapan pintu utama masjid.
"Pihak masjid mengakui ada memaklumkan kepada individu berkenaan mengenai penutupan pintu pagar kerana waktu operasi telah berakhir, namun menafikan penggunaan bahasa kasar atau kesat seperti yang didakwa dalam video tular itu.
"Rakaman video yang ditularkan juga tidak menunjukkan sebarang perbualan antara kedua-dua pihak," katanya.
Harith Fadzilah berkata, susulan penularan video berkenaan, petugas masjid terbabit telah membuat laporan polis bagi mengelakkan salah faham serta melindungi reputasi institusi masjid.
Katanya, JAIPk telah mencadangkan agar pihak masjid mempertimbangkan pelantikan pengawal keselamatan, memandangkan masjid berkenaan sering dikunjungi orang awam, termasuk pada waktu malam.
"Semua petugas masjid dinasihati supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas, khususnya dari segi penggunaan bahasa yang sesuai apabila berurusan dengan orang awam.
"Orang awam yang berdepan sebarang isu berkaitan masjid, disaran supaya membuat aduan secara rasmi kepada pejabat agama daerah berhampiran bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil," katanya.
Menerusi paparan video berdurasi 1 minit dan 57 saat tersebut, seorang wanita mendakwa telah dihalau secara kasar dan seperti anjing ketika sedang menunggu ahli keluarga untuk mengambilnya yang baru pulang dari mengerjakan ibadah umrah.