Leher dan paha kejang akibat latihan menari, video lama Khairul Aming kembali tular

Iklan
Video lama Khairul Aming membuat persembahan tarian sewaktu zaman pengajiannya di Amerika Syarikat kembali tular

KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mendedahkan beliau pernah mengalami otot leher dan paha kejang akibat latihan intensif ketika mempersiapkan diri untuk sebuah persembahan tarian sewaktu zaman pengajiannya di Amerika Syarikat.

Menurut Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, latihan berjam-jam setiap hari dilakukan bagi memastikan pergerakan tarian yang dipersembahkan mencapai tahap terbaik.

Iklan
Iklan

“Dulu sampai paha kejang seminggu. Nak bengkokkan lutut itu ingat senang ke? Masa itu saya boleh squat rendah berjam-jam sehari untuk latihan,” katanya dalam satu video yang dikongsi di media sosial pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, latihan tersebut memerlukan stamina tinggi termasuk rutin kecergasan yang ketat setiap hari.

Iklan

“Waktu itu saya pergi gimnasium dua jam sehari dan berenang satu jam. Jadi tiga jam saya bersenam setiap hari,” katanya.

Tambahnya, latihan fizikal tersebut membolehkannya melakukan posisi squat rendah yang menjadi antara pergerakan utama dalam tarian berkenaan.

Iklan

Video lama yang memaparkan Khairul Aming menari ketika bergelar pelajar di Universiti Vanderbilt, Nashville, Tennessee, kembali tular sejak beberapa hari lalu dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Rakaman berdurasi kurang seminit itu menunjukkan beliau menari bersama rakan sekampus dalam sebuah program kebudayaan universiti dengan gaya santai namun bertenaga.

Menurutnya, ketika itu beliau merupakan pelajar tahun tiga dalam bidang kejuruteraan mekanikal serta memegang jawatan Presiden Pelajar Malaysia di universiti berkenaan.

Pada minggu tersebut, universiti menganjurkan program ‘Asian New Year Festival’ yang mewajibkan setiap negara Asia mempersembahkan tarian kebudayaan masing-masing.

“Saya pelajar paling senior, jadi terpaksa ambil tanggungjawab sebagai koreografer walaupun seumur hidup tak pernah menari,” katanya.

Khairul Aming menambah, selain mengetuai koreografi, beliau turut memikul tanggungjawab sebagai presiden pelajar pada tahun pengajian yang dianggap antara paling mencabar.

Walaupun tidak memiliki pengalaman menari, beliau tetap meneruskan usaha demi memastikan persembahan berjalan lancar.

“Walaupun menari macam ketam sekalipun tak mengapa. Yang penting kita belajar tentang kepimpinan,” ujarnya.

Fenomena video tersebut turut mencetuskan gelombang baharu di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram apabila ramai pengguna tampil meniru gerak tari berkenaan tanpa mengira usia.

Trend itu muncul selepas kejayaan siri kandungan ‘30 Hari 30 Resipi’ yang sebelum ini melonjakkan lagi populariti Khairul Aming dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sehingga kini, pelbagai versi baharu terus dimuat naik oleh pengguna media sosial, menjadikan tarian berkenaan antara kandungan paling hangat diperkatakan dalam tempoh dua hari kebelakangan ini.

Khairul Aming bagaimanapun mengakui beliau kini tidak lagi mampu melakukan pergerakan sama seperti dahulu.

“Sekarang kalau orang suruh pun saya cuma tunduk saja, tak boleh squat rendah macam dulu,” katanya berseloroh.