Guru di Indonesia dibelasah sekumpulan pelajar

Iklan
Insiden itu tular di media sosial.- Agensi

JAKARTA – Seorang guru Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) Negeri 3 Tanjung Jabung Timur, Jambi menjadi mangsa serangan sekumpulan pelajarnya sendiri dalam satu kejadian yang berlaku di kawasan sekolah ketika waktu pembelajaran, sebelum insiden itu tular di media sosial.

Dalam rakaman video yang beredar, guru berkenaan, Agus Saputra dilihat dibelasah oleh beberapa pelajar, mencetuskan kecaman orang ramai terhadap tahap disiplin dan keselamatan warga pendidik di sekolah.

Iklan
Iklan

Agus berkata, serangan itu berlaku pada Selasa, 13 Januari lalu selepas satu sesi mediasi antara beliau dan pelajar gagal mencapai kata sepakat.

Menurutnya, kejadian berpunca daripada insiden awal apabila seorang pelajar menegurnya dengan kata-kata tidak sopan ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung.

Iklan

“Kejadian bermula apabila seorang pelajar menjeritkan kata-kata tidak beradab kepada saya ketika saya berada di hadapan kelas,” katanya.

Beliau kemudian memasuki kelas dan meminta pelajar yang terlibat tampil mengaku.

Iklan

Seorang pelajar mengaku, namun bertindak mencabar sehingga Agus mengakui telah menampar pelajar berkenaan secara spontan.

“Tindakan itu berlaku secara refleks dan bertujuan memberi pengajaran moral,” jelasnya.

Situasi bagaimanapun menjadi semakin tegang apabila timbul dakwaan kononnya Agus menghina pelajar dengan perkataan ‘miskin’.

Agus menafikan, dakwaan tersebut dan menegaskan kenyataannya dibuat dalam konteks memberi motivasi, bukan menghina mana-mana individu.

“Saya menyebut secara umum bahawa jika kita datang daripada keluarga kurang berkemampuan, kita perlu menjaga tingkah laku dan berusaha memperbaiki diri. Itu bukan ejekan,” katanya.

Semasa sesi mediasi, Agus berkata, beliau memberi pilihan kepada pelajar sama ada untuk membuat petisyen jika tidak mahu beliau terus mengajar di sekolah tersebut atau pelajar perlu mengubah sikap.

Namun, pelajar sebaliknya menuntut beliau memohon maaf, menyebabkan rundingan menemui jalan buntu.

Tidak lama selepas itu, ketika beliau berjalan menuju ke bilik guru, Agus diserang dan dipukul oleh beberapa pelajar.

“Ketika itulah saya dibelasah beramai-ramai,” katanya.

Akibat kejadian tersebut, Agus mengalami lebam di bahagian badan dan pipi.

Beliau telah membuat aduan rasmi kepada Dinas Pendidikan Wilayah Jambi dan berharap pihak berkuasa dapat campur tangan bagi menyelesaikan insiden berkenaan secara adil serta memastikan keselamatan guru di sekolah terjamin.- Agensi