Fasa kedua gencatan senjata Gaza bermula, fokus kepada penyahtenteraan

Iklan
Fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza memfokuskan kepada penyahtenteraan, tadbir urus teknokrat dan pembangunan semula. Foto AFP

WASHINGTON - Utusan Khas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengumumkan permulaan fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza, dengan menyatakan bahawa fokus kini beralih kepada usaha penyahtenteraan, tadbir urus teknokrat dan pembangunan semula, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Fasa Kedua menubuhkan pentadbiran peralihan teknokrat Palestin di Gaza, Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG), serta memulakan proses penyahtenteraan penuh dan pembangunan semula Gaza, khususnya perlucutan senjata semua individu bersenjata tidak dibenarkan,” kata Steve Witkoff dalam satu kenyataan di platform X.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Amerika Syarikat menjangkakan kumpulan Palestin Hamas mematuhi sepenuhnya kewajipannya di bawah perjanjian itu, termasuk pemulangan segera tawanan terakhir yang telah meninggal dunia.

"Kegagalan berbuat demikian akan membawa kesan serius,” tambah Witkoff.

Iklan

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Turkiye, Mesir dan Qatar"atas usaha pengantaraan yang amat diperlukan sehingga membolehkan semua kemajuan setakat ini dicapai.”

Terdahulu, kumpulan-kumpulan Palestin pada awal Rabu menyatakan sokongan terhadap penubuhan badan pentadbiran peralihan bagi Gaza, sambil menggesa langkah pantas diambil bagi membolehkan badan itu mengambil alih tanggungjawab tadbir urus di wilayah berkenaan dengan segera.

Iklan

Pendirian itu diumumkan dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat di Kaherah yang diadakan atas jemputan Mesir dan berlangsung di bawah naungan Presiden Abdel Fattah al-Sisi, menurut saluran berita Mesir, Al-Qahera News.

Menurut kenyataan itu, kumpulan-kumpulan berkenaan menekankan keperluan mewujudkan keadaan yang sesuai untuk badan peralihan itu segera mengambil alih tanggungjawab penuh mengurus kehidupan harian di Gaza, termasuk perkhidmatan awam penting.

Mereka menyatakan badan itu akan bekerjasama dengan sebuah"majlis keamanan” dan jawatankuasa eksekutifnya, yang dijangka menyelia proses kelulusan dan pelaksanaan pembangunan semula Gaza.

Rakyat Palestin menuduh Israel berulang kali melanggar gencatan senjata yang menghentikan serangan Israel di Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 71,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.

Hampir 450 rakyat Palestin maut dan lebih 1,200 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata itu, menurut Kementerian Kesihatan.

Israel juga enggan membuka semula lintasan sempadan ke Gaza meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai pada November 2025, yang menggesa gencatan senjata kekal dan menyeluruh di wilayah itu, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan pembangunan semula wilayah berkenaan. - Bernama-Anadolu