Myanmar dakwa kes genosid Rohingya di ICJ 'cacat', tidak berasas

Iklan
Menteri Kesatuan Pejabat Presiden Myanmar, Ko Ko Hlaing, duduk dalam bilik mahkamah semasa prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, The Hague, pada 12 Januari 2026. Foto: Agensi

Perbicaraan ini merupakan kes genosid pertama yang didengar sepenuhnya oleh ICJ dalam tempoh lebih sedekad

THE HAGUE – Kerajaan Myanmar menegaskan bahawa kes yang menuduh negara itu melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah cacat, tidak berasas serta bersandarkan bukti yang berat sebelah.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media rasmi pada Rabu, Kementerian Luar Myanmar menyifatkan tuduhan yang dikemukakan oleh Gambia sebagai tidak mempunyai asas kukuh dari segi fakta dan undang-undang.

Iklan
Iklan

“Dakwaan Gambia adalah cacat dan tidak berasas. Laporan berat sebelah yang bersandarkan bukti tidak boleh dipercayai tidak mampu menggantikan kebenaran,” menurut kenyataan itu.

Myanmar turut menegaskan bahawa kerajaan tenteranya, yang mengambil alih kuasa pada 2021, memberi kerjasama kepada prosiding ICJ dengan niat baik sebagai tanda menghormati undang-undang antarabangsa.

Iklan

Kes bersejarah itu difailkan oleh Gambia pada 2019, susulan operasi ketenteraan Myanmar pada 2017 yang memaksa kira-kira 750,000 penduduk Rohingya melarikan diri, kebanyakannya ke Bangladesh.

Mangsa yang terselamat mendedahkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai, rogol dan pembakaran kampung.

Iklan

Ketika ini, dianggarkan 1.17 juta pelarian Rohingya tinggal di kem pelarian yang sesak dan serba kekurangan di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Pada hari pertama perbicaraan, Menteri Kehakiman Gambia, Dawda Jallow, memberitahu hakim bahawa etnik Rohingya telah “disasarkan untuk dihapuskan”.

Peguam yang mewakili kerajaan Myanmar dijadualkan memulakan pembelaan mereka pada Jumaat.

Perbicaraan ini merupakan kes genosid pertama yang didengar sepenuhnya oleh ICJ dalam tempoh lebih sedekad, dan keputusannya dijangka memberi kesan meluas, termasuk terhadap kes genosid yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel berkaitan perang di Gaza.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan operasi ketenteraan Myanmar sebagai ‘contoh pembersihan etnik secara klasik’, manakala satu misi pencarian fakta PBB menyimpulkan bahawa tindakan tersebut mengandungi “perlakuan genosid”.

Namun, pihak berkuasa Myanmar menolak laporan itu dan menegaskan bahawa operasi tersebut adalah kempen anti-pengganas yang sah, susulan serangan kumpulan bersenjata Rohingya.

Menariknya, kenyataan rasmi Myanmar tidak menggunakan istilah ‘Rohingya’, sebaliknya merujuk mereka sebagai “penduduk dari negeri Rakhine”, selari dengan pendirian kerajaan yang tidak mengiktiraf Rohingya sebagai minoriti rasmi serta menafikan kewarganegaraan mereka.

Keputusan akhir ICJ dijangka mengambil masa berbulan atau bertahun, dan walaupun mahkamah itu tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, keputusan memihak kepada Gambia dijangka meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Myanmar.

Myanmar kini sedang melaksanakan pilihan raya secara berperingkat, namun proses tersebut dikritik oleh PBB, negara-negara Barat dan pertubuhan hak asasi sebagai tidak bebas dan tidak adil. – Agensi