KUDAT - Sebuah bangunan tadika di Kampung Lajong di sini yang didakwa berada dalam keadaan daif dengan dinding berlubang, lantai rosak dan bumbung zink yang rapuh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka.
Felontina Omisilim, 31, salah seorang ibu yang menghantar anaknya ke tadika tersebut, meluahkan kebimbangannya terhadap struktur bangunan berkenaan yang sepatutnya dibaik pulih segera.
“Kalau dilihat bangunan itu, pasti ramai tidak menyangka ia merupakan bangunan kelas tadika. Keadaannya sangat daif, dengan dinding dan lantai yang berlubang, manakala zink pula sudah mereput.
“Saya risau keselamatan anak-anak kami kerana terpaksa belajar dalam bangunan yang rosak teruk,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurutnya, bangunan tadika tersebut telah wujud sejak 1980-an dan masih digunakan sehingga hari ini.
“Ramai ibu bapa suka menghantar anak mereka belajar di tadika tersebut kerana gurunya sangat komited mendidik murid-murid,” katanya.
Felontina mendakwa, keadaan struktur bangunan itu, termasuk zink, lantai dan dinding, semakin hari semakin teruk sehingga menimbulkan risiko keselamatan kepada para pelajar.
“Kami risau keselamatan anak-anak kami. Zink di bahagian depan tadika pernah terpaksa dibuka oleh penduduk kampung secara gotong-royong kerana dikhuatiri diterbangkan angin dan menimpa murid.
“Malah sebelum ini pernah berlaku kejadian pelajar jatuh akibat lantai kelas yang berlubang,” katanya.
Sehubungan itu, dia meminta pihak berkaitan supaya mengambil tindakan segera bagi membaik pulih bangunan tadika tersebut demi memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar serta guru yang mengajar di sana.
“Kami mahu pihak berkaitan mengambil tindakan segera agar perkara tidak diingini dapat dielakkan. Ini juga akan memberi keselesaan kepada murid dan guru di sana,” ujarnya.