JEMPOL – Jika dilihat pada fizikalnya, ramai menyangka kanak-kanak lelaki ini sudah berusia 12 tahun, namun hakikatnya dia baru berusia empat tahun.
Perubahan fizikal ketara yang dialami Aidan Yusuf Alihudin mula disedari ibu bapanya, Nur Syafiqa Abd Rahman, 32, dan Alihudin Abdul Rahman, 39, ketika anak istimewa itu berusia setahun.
Menurut Nur Syafiqa, dia dan suami terkejut apabila mendapati kemaluan anaknya mula ditumbuhi rambut, malah sejak itu tumbesarannya berlaku lebih cepat berbanding kanak-kanak seusianya.
“Saya mula sedar ketika usianya setahun lebih, selepas dia sudah boleh berjalan, bahagian kemaluannya sudah ditumbuhi rambut.
“Kami pelik kerana keadaannya tidak sama seperti kanak-kanak lain seusianya. Lama-kelamaan, muka dan badannya pula ditumbuhi jerawat, malah suaranya juga semakin 'besar',” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nur Syafiqa berkata, Aidan kemudian dirujuk ke Klinik Kesihatan Kuala Pilah sebelum diminta mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Putrajaya.
“Doktor memaklumkan Aidan mengalami masalah hormon yang menyebabkan dia baligh lebih awal, mungkin pada usia tiga tahun.
“Di Hospital Putrajaya, Aidan menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi mengenal pasti punca gangguan hormon tersebut dan doktor mengesan terdapat ketumbuhan kecil di kepalanya yang mungkin menjadi punca," katanya.
Bagaimanapun katanya, doktor masih belum mengesahkan secara spesifik nama penyakit dihidapi Aidan dan dia perlu menjalani rawatan berterusan.
Nur Syafiqa berkata, anaknya kini perlu makan ubat dan suntikan hormon setiap bulan sehingga berusia 10 tahun bagi melambatkan perkembangan hormonnya.
"Doktor juga beritahu yang keadaan dialami Aidan jarang berlaku, namun tidak terlalu membimbangkan jika mendapat rawatan berterusan," katanya.
Disebabkan keadaan itu, Nur Syafiqa mengambil keputusan berhenti kerja sebagai penjawat awam di Kuala Lumpur bagi memberi sepenuh perhatian kepada anaknya.
“Sebenarnya saya hanya merujuk Aidan ke hospital ketika usianya dua tahun kerana saya tinggal berjauhan dengan suami dan sebab itulah saya membuat keputusan berhenti kerja sejak setahun lalu,” katanya.
Walaupun perubahan fizikal Aidan berlaku lebih awal, Nur Syafiqa memaklumkan anaknya itu mengalami masalah pertuturan dan disahkan menghidap autisme.
Namun ujarnya, Aidan tidak mempunyai masalah kesihatan lain dan kekal aktif seperti kanak-kanak lain.
“Apabila melihat dia sentiasa aktif dan ceria, kami berasa lega. Cuma fizikalnya membesar dengan cepat, malah lebih besar daripada abangnya yang berusia sembilan tahun.
“Saya sendiri tidak pernah tahu ada kes seperti ini. Apabila saya kongsikan di media sosial, ada ibu bapa lain memaklumkan anak mereka turut mengalami masalah sama,” katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu turut menasihatkan ibu bapa yang berdepan situasi sama supaya segera mendapatkan pemeriksaan di hospital bagi membolehkan rawatan lanjut dilakukan.