MELAKA - Hanya berbaki enam bulan lagi untuk bergelar graduan namun hasrat itu terpaksa dilupakan demi menjaga ibunya yang mengalami strok pada 2019.
Itu kisah Muhammad Fadzlin Abdullah, 24, beberapa tahun lalu ketika diuji ibu sakit ketika masih usia muda.
Kini selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia, dia mengambil tanggungjawab menjaga serta menanggung persekolahan dua adiknya, Muhammad Furqan Hassan Abdullah, 15, dan Muhammad Farhan Nikmat Abdullah, 13,
Pengawal keselamatan itu berkata, ibunya meninggal dunia terlebih dahulu pada 2023, disusuli bapanya 10 hari kemudian.
Dia pasrah menerima jalan hidupnya dan kini tumpuannya adalah untuk memastikan kebajikan dua adiknya dijaga sebaik mungkin.
“Waktu itu saya masih belajar, lagi enam bulan nak tamat pengajian dan bergelar graduan Kolej Vokasional Juasseh dalam bidang Penyejukan dan Penyaman Udara. Tempoh pengajian keseluruhan adalah empat tahun, tetapi saya sempat belajar selama tiga tahun sahaja.
“Ia bermula selepas mak mengalami strok pada badan sebelah kanan, dan seminggu kemudian diserang strok sebelah kiri pula. Keadaan menjadi semakin teruk dan memerlukan penjagaan penuh, tetapi tiada siapa yang boleh menguruskannya.
“Abang-abang semua perlu bekerja, ayah pun sudah tidak kuat. Jadi saya terpaksa berhenti belajar untuk menjaga mak,” katanya ketika ditemui pada program Singgah Sahur anjuran Pertubuhan Generasi Madani dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang diketuai Mohd Radzmin Roslan.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, selepas dua tahun menjaga ibunya yang sakit strok, bapanya turut diserang penyakit sama.
Katanya, ibunya meninggal dunia pada 2023, disusuli ayah 10 hari kemudian dan terus mencari kerja bagi menampung keperluan dua adik-adiknya.
Ujarnya, hasrat untuk menyambung pengajian tetap ada, namun buat masa ini dia mengutamakan perkara yang lebih penting iaitu adik-adiknya.
“Kadang-kadang sedih juga memikirkan nasib sendiri. Kawan-kawan seusia saya dapat membeli pelbagai keperluan sendiri, sedangkan saya perlu berjimat cermat supaya cukup makan untuk kami adik-beradik.
“Kalau ada rezeki lebih, sudah tentu saya mahu menyambung pengajian dan menjadi tenaga pengajar dalam bidang yang saya pelajari dahulu, tetapi buat masa ini keadaan belum mengizinkan,” katanya.