KUALA LUMPUR – Isu buli yang semakin membimbangkan dan memberi kesan serius terhadap kesihatan mental masyarakat, khususnya golongan muda, perlu ditangani secara menyeluruh dan berterusan, termasuk melalui pendekatan sukan berdisiplin seperti Muay Thai dan tinju.
Sehubungan itu, pelakon tersohor tanah air, Datuk Aaron Aziz dilantik sebagai duta anti buli sukan Muay Thai sempena penganjuran kejohanan Sang Saka Biru Muaythai Warrior Vol. 1 anjuran Sang Saka Biru PDRM, yang bakal berlangsung pada 7 dan 8 Februari 2026 di Pulapol Kuala Lumpur.
Aaron yang juga Naib Presiden Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA) Malaysia, yang turut terlibat secara langsung dalam inisiatif berkenaan, berkata isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana sehingga kini telah berlaku kes yang mengakibatkan kehilangan nyawa, selain meninggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa.
“Sebagai sebuah NGO yang fokus kepada kesihatan mental, MIASA amat mengambil berat isu buli yang semakin berleluasa di Malaysia.
“Kami sentiasa memberikan bantuan dan rawatan bersama pakar kepada mangsa buli untuk membantu mereka mengatasi trauma, kemurungan, keresahan serta pelbagai bentuk penyakit mental,” katanya.
Beliau berkata, pelantikannya sebagai ikon anti buli menerusi kolaborasi bersama Sang Saka Biru PDRM merupakan satu langkah strategik bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan muda, dengan pendekatan yang lebih dekat dan berimpak.
“Saya amat berbesar hati apabila dilantik sebagai ikon anti buli yang menggunakan platform sukan tempur seperti Muay Thai dan boxing.
“Ini adalah satu inisiatif yang sangat prihatin kerana sukan ini bukan sekadar tentang fizikal, tetapi membentuk disiplin, kawalan diri, komitmen dan kekuatan mental,” katanya.
Menurut Aaron, penganjuran kejohanan tersebut turut membuka ruang dan platform selamat kepada anak-anak muda yang berminat dalam dunia sukan tempur untuk menyalurkan minat mereka secara positif dan terkawal.
“Inisiatif Sang Saka Biru PDRM ini memberi peluang kepada golongan muda untuk belajar seni bela diri dalam persekitaran yang berdisiplin, sekali gus membina gaya hidup sihat serta kekuatan mental dan fizikal.
“Ia juga secara tidak langsung mampu mengekang budaya buli dengan mendidik mereka tentang nilai hormat dan empati,” jelasnya.
Turut diketengahkan dalam kempen anti buli ini ialah bintang cilik Muay Thai negara, Adam Mikail Mohd Zawawi, atau lebih dikenali sebagai MIKA, yang kini berusia 12 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Kuala Lumpur.
Adam Mikail mencuri perhatian apabila berjaya mencatat pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya memenangi pingat emas Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia Abu Dhabi 2025 (special bout), pingat emas Muaytalay Abu Dhabi 2025, serta dinobatkan sebagai Fighter Terbaik Kejohanan Muay Thai KL Fight International 2025.
Selain itu, beliau turut meraih pingat emas Kejohanan Muay Thai Kebangsaan Bukit Jalil 2025, Fighter Terbaik Kejohanan Muay Thai Kebangsaan Serdang 2024, serta merupakan pemegang tali pinggang semi-pro KL Fight League Muay Thai Kuala Lumpur 2024.
Kejayaan Adam Mikail dilihat sebagai simbol bahawa sukan tempur, jika dibimbing dengan betul, mampu melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan serta mempunyai jati diri yang kuat, sejajar dengan matlamat kempen anti-bullying yang dibawa melalui penganjuran Sang Saka Biru Muaythai Warrior Vol. 1.
Kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi menjadi platform kesedaran bahawa keganasan tidak harus diterjemahkan melalui buli, sebaliknya disalurkan secara beretika, berdisiplin dan berperaturan melalui sukan.