PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terus berdepan cabaran untuk mencari rentak apabila tersingkir seawal pusingan pertama di Kejohanan Badminton Terbuka India 2026, pada Selasa.
Dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi itu, Zii Jia memberikan tentangan sengit namun terpaksa akur tewas di tangan pemain Denmark, Rasmus Gemke.
Zii Jia kecundang menerusi pertarungan tiga set 13-21, 21-18, 18-21 dalam perlawanan yang memakan masa selama 62 minit.
Kekalahan itu menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu tersingkir di pusingan awal buat kali kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu.
Terdahulu, Zii Jia turut mengalami nasib sama apabila tewas kepada wakil India, Ayush Shetty pada aksi pembukaan Terbuka Malaysia di Axiata Arena, minggu lalu.
Untuk rekod, sebelum kempen Terbuka Malaysia bermula, Zii Jia terpaksa berehat panjang akibat masalah kecederaan sebelum kembali membuat penampilan semula di gelanggang.
Sementara itu, berita gembira hadir menerusi kem beregu campuran profesional negara apabila gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berjaya meneruskan kemaraan.
Pasangan itu cemerlang menewaskan gandingan Taiwan, Wu Guan-xun-Lee Chia-hsin menerusi keputusan 'straight set' 21-17, 21-17.
Kemenangan itu membolehkan Soon Huat dan Shevon membuat perhitungan menentang juara Sukan SEA dari Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat pada pusingan kedua nanti.
Turut mengiringi kemaraan mereka adalah satu lagi wakil negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang berjaya menyingkirkan wakil Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi dengan keputusan 21-10, 23-21.