Israel-AS serang Iran: Rakyat Israel panik diserang balas

Iklan
Orang ramai berpusu-pusu mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Nablus, Tebing Barat yang diduduki pada 28 Februari 2026. Foto: AFP

JERUSALEM - Rakyat Israel bergegas menuju ke tempat perlindungan bom di seluruh negara pada Sabtu selepas siren kecemasan dibunyikan bagi memberi amaran mengenai serangan peluru berpandu balas Iran susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Teheran.

Sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan, pihak berkuasa Israel mengarahkan penduduk di Jerusalem supaya berlindung di tempat selamat.

Iklan
Iklan

Tidak lama kemudian, beberapa bunyi letupan kedengaran di ruang udara bandar itu ketika sistem pertahanan udara berusaha memintas peluru berpandu yang dilancarkan. Amaran kedua dikeluarkan kira-kira jam 11.15 pagi, menandakan ancaman berterusan.

Serangan ini mengimbau kembali situasi pada Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear dan peluru berpandu Iran, sekali gus mencetuskan perang singkat selama 12 hari yang turut melibatkan AS.

Iklan

Di Jerusalem Timur, jalan raya kelihatan lengang apabila penduduk segera mencari perlindungan.

Di sebuah sekolah awam di pusat bandar, puluhan orang berkumpul di dalam tempat perlindungan bom.

Iklan

Seorang individu berlindung ketika siren amaran berbunyi di Baitulmaqdis pada 28 Februari 2026, susulan pengumuman bahawa Israel melancarkan"serangan pencegahan awal” terhadap Iran. Foto: AFP

Ada yang masih berpakaian ibadah dan memegang kitab doa kerana serangan berlaku ketika sebahagian masyarakat Yahudi sedang bersiap untuk menyambut hari Sabat.

Sebahagian pelajar diarahkan pulang ke rumah, manakala beberapa komuniti ultra-Ortodoks dilaporkan tetap menghadiri rumah ibadat walaupun amaran dikeluarkan.

Di Hotel American Colony, lokasi tumpuan pelawat antarabangsa di Jerusalem, beberapa dozen tetamu berlindung di bunker bawah tanah.

Pasangan muda tempatan, Oren Mor, 26, dan Liem Katz, 21, yang berada di situ berkata mereka berharap konflik dapat dielakkan kali ini.

“Kami benar-benar tidak mahu ini berlaku,” kata Katz sambil memegang lengan pasangannya.

Mereka sepatutnya menyambut perayaan Purim pada hari itu, namun terpaksa memantau perkembangan berita di telefon masing-masing dalam keadaan cemas.

Di bandar Rehovot, selatan Tel Aviv, sebuah tempat letak kereta bawah tanah bertukar menjadi pusat perlindungan sementara apabila orang ramai turun dengan tergesa-gesa sebaik siren dibunyikan.

Tiga wanita warga emas saling berpaut untuk sokongan sambil bergerak perlahan ke sudut yang lebih terlindung.

“Oh, saya tidak merindui bunyi ini,” kata salah seorang daripada mereka, merujuk kepada bunyi amaran di telefon bimbit.

Perkembangan terbaharu ini menandakan situasi serius konflik serantau dengan risiko peningkatan ketegangan yang boleh memberi kesan lebih luas terhadap keselamatan Asia Barat. - Agensi