Menyorok celah tangki air perangkap diri

Iklan
Antara warga asing yang diperiksa JIM dalam operasi di sebuah pangsapuri lama di Chow Kit.

KUALA LUMPUR - Bukan sahaja dicekup kerana bersembunyi di celah tangki air, lebih malang apabila saluran paip yang dipijak lelaki warga asing itu patah hingga menyebabkan ruangan bilik kediamannya banjir.

Itu antara insiden yang berlaku semasa Op Kutip yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sebuah pangsapuri lama di Chow Kit di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Serbuan berdepan cabaran apabila pemeriksaan perlu dilaksanakan sehingga ke tingkat 19.

Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati terdapat cubaan warga asing untuk bersembunyi di sebalik timbunan barang lusuh serta di bawah sinki.

Iklan

Seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an yang dicekup selepas dikesan menyorok di celah tangki itu mendakwa tindakannya demikian kerana takut dan bimbang disebabkan kesalahan imigresen yang dilakukannya.

Seorang lelaki warga Indonesia cuba menyorok di celah tangki air.

Iklan

"Pasport saya dah mati bang. Sorok tadi sebab takut," katanya.

Pada mulanya, unit rumah lelaki itu telah diketuk beberapa kali oleh anggota operasi, namun tiada maklum balas diterima sebelum pintu terpaksa dikopak, lalu menemui beberapa warga asing yang sedang menyorok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan pada jam 12.30 tengah malam itu telah menahan seramai 79 individu termasuk 23 wanita disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia lingkungan 17 hingga 55 tahun.

Menurutnya, mereka yang ditahan atas kesalahan tidak mempunyai pas dan permit yang sah selain tinggal lebih masa, membabitkan 39 warga Indonesia, Nepal (10 orang), India (2 orang), Bangladesh (25 orang), Pakistan (2 orang) dan seorang warga Myanmar.

Antara warga asing yang diperiksa JIM dalam operasi di sebuah pangsapuri lama di Chow Kit.

“Kebanyakan PATI yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan dan di tapak pembinaan dengan tinggal dalam jumlah yang ramai.

“Keadaan tempat tinggal di sini berbau busuk dengan sampah sarap hingga berisiko menimbulkan masalah lain,” katanya selepas serbuan itu.

Turut serta, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Lokman (tengah) mengetuai operasi PATI di sebuah pangsapuri lama di Chow Kit, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah Lokman, lokasi tersebut antara kawasan panas atau 'hotspot' PATI di ibu negara.

Tegasnya, JIM akan sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan 360 darjah ke atas semua pihak tanpa mengira sama ada PATI mahupun majikan.

“Semua akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi menjaga kedaulatan negara,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.