Wanita kongsi pengalaman 28 hari 'ditahan' di penjara orang gemuk

Iklan
Senaman dipantau oleh pihak kem. Foto Agensi

GUANGZHOU – Seorang ekspatriat Australia mendedahkan pengalaman fizikal dan mental yang mencabar selepas menyertai program penurunan berat badan berdisiplin tinggi di 'penjara orang gemuk' di China, sebuah kem tertutup yang beroperasi dengan pendekatan seakan kem ketenteraan.

TL Huang, 28, mendakwa dirinya antara warga Australia pertama yang secara sukarela menyertai program selama 28 hari itu di Guangzhou, selepas disarankan oleh ibunya sebagai usaha memulihkan kesihatan dan membina semula rutin hidup yang lebih sihat.

Iklan
Iklan

Kem berkenaan dikelilingi tembok konkrit tinggi, pagar besi, serta kawat elektrik, dengan pintu masuk dan keluar dikawal ketat oleh pengawal keselamatan.

Peserta dilarang membawa atau mengambil makanan tidak sihat, termasuk mi segera, yang akan dirampas sebaik tiba di lokasi.

Iklan

Menurut Huang, kehidupannya sepanjang program dikawal sepenuhnya – bermula dengan penimbangan berat badan setiap pagi dan petang, jadual senaman intensif sehingga empat jam sehari, makanan berportion kecil yang ditentukan oleh kakitangan, serta penginapan berasrama dengan katil dua tingkat.

“Pengalaman itu benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal saya,” katanya, sambil mengakui tekanan meningkat apabila perlu mematuhi rutin ketat tanpa sebarang kelonggaran.

Iklan

Keadaan menjadi lebih sukar apabila Huang diserang influenza pada minggu ketiga, menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke hospital dengan demam mencecah 39 darjah Celsius.

“Ia satu saat yang sangat menyedihkan,” katanya.

China kini mempunyai rangkaian kem penurunan berat badan komersial dan berkaitan kerajaan sebagai langkah menangani krisis obesiti nasional.

Data terkini menunjukkan lebih separuh daripada 1.22 bilion penduduk dewasa negara itu diklasifikasikan sebagai berlebihan berat badan atau obes, dan angka tersebut dijangka meningkat kepada dua pertiga menjelang 2030.

Peserta program dilaporkan perlu membayar ratusan dolar, dengan Huang membelanjakan kira-kira AS$600, yang meliputi penginapan, makanan dan sesi senaman.

Walaupun berdepan cabaran berat, Huang berkata, dia tidak menyesali keputusannya.

Menurutnya, gaya hidup tidak teratur ketika sering berpindah antara Jepun dan China sebelum ini menyumbang kepada peningkatan berat badan dan kesihatan yang merosot.

“Di kem ini, saya dipaksa membina rutin. Saya hanya fokus pada diri sendiri dan kesihatan tanpa memikirkan soal memasak atau merancang senaman,” katanya.

Huang berjaya menurunkan enam kilogram dalam tempoh empat minggu, dan mendakwa kini lebih peka terhadap pemakanan serta kekal aktif dalam kehidupan seharian.

Bagaimanapun, pengalaman tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Ada yang memuji keberaniannya sebagai inspirasi, manakala sebahagian lain mempersoalkan keselamatan dan kesan jangka panjang program yang dianggap terlalu ekstrem.

Mengulas kritikan itu, Huang mengakui kem berkenaan bukan untuk semua orang.

“Ia sesuai untuk mereka yang benar-benar mahu memulakan semula perjalanan kesihatan dan sanggup komited sepenuhnya,” katanya, sambil menasihatkan orang ramai supaya membuat kajian teliti sebelum menyertai program seumpama itu.

“Yang paling penting bukan berapa banyak berat yang hilang, tetapi tabiat dan disiplin yang dibina untuk jangka panjang,” tambahnya.- Agensi