KOTA BHARU – Kenduri perkahwinan sepupu dan makan malam bersama enam beradik dua minggu lalu menjadi detik akhir pertemuan keluarga Allahyarham Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33, antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di Gua Musang pada Selasa.
Kakak mangsa, Siti Sarah, 39, berkata, arwah yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik disifatkan sebagai seorang adik yang baik selain sangat rapat dengan adik-beradik.
“Sabtu dua minggu lepas kami semua berkumpul sebab kenduri kahwin sepupu di Padang Golf dan malam itu kami enam beradik sepakat makan bersama di sebuah restoran di Kuala Besar.
“Dia ceria seperti biasa, langsung tak tunjuk apa-apa perubahan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Kampung Anak Sungai, Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.
Menurut Siti Sarah, arwah yang sudah kira-kira 10 tahun bekerja sebagai petugas pengisian bahan api kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di bawah sebuah syarikat itu sering mengikuti kursus kerja di Kuala Lumpur dan kebiasaannya ke sana menaiki kapal terbang.
Katanya, arwah yang menetap di rumah pusaka ibu bapa bersama isteri dan dua anak kecil sempat meluangkan masa bermain dengan anak-anak sebelum keluar rumah untuk bertugas.
“Biasa dia pergi kursus dengan kapal terbang, jarang-jarang dengar melalui jalan darat atau naik kenderaan pelbagai guna.
“Dia sangat rapat dengan anak-anak dan sepatutnya dijangka pulang ke rumah Jumaat ini,” katanya.
Allahyarham meninggalkan isteri, Nurul Aim, 27, seorang pembantu kedai emas di Binjai serta dua cahaya mata, masing-masing perempuan berusia tiga tahun dan bayi lelaki tujuh bulan.
Siti Sarah berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 petang, sebelum Nurul bergegas ke Gua Musang sebaik menerima berita kemalangan tersebut.
“Arwah seorang adik yang sangat baik, tak pernah bergaduh dengan adik-beradik.
“Abang sulung kami sudah meninggal dunia sebelum ini akibat sakit buah pinggang, sebab itu kehilangan arwah sangat terasa,” katanya.
Jenazah Allahyarham dibedah siasat di Hospital Gua Musang dan dijangka dibawa pulang ke Pengkalan Chepa serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Kubang Keranji di sini pada jam 10 pagi, Rabu.
Dalam kejadian tersebut, Allahyarham bersama dua rakan sekerja maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 55, Jalan Gua Musang–Kuala Krai.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah van.
Pemandu MPV berusia 42 tahun serta pemandu dan penumpang van mengalami kecederaan parah.