SHAH ALAM - Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu program ‘Glamping With Pride’ dan kontroversi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat perlu dikuatkuasakan menerusi pelaksanaan tadbir urus kerajaan serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, titah Sultan Selangor itu mencerminkan kebijaksanaan Raja Berperlembagaan yang berpaksikan tuntutan agama, kepentingan awam dan keharmonian sosial dalam masyarakat majmuk.
“Titah tersebut wajar menjadi pedoman kepada semua pihak khususnya kerajaan dan agensi berkaitan agar setiap dasar serta tindakan yang diambil bukan sahaja selari dengan prinsip toleransi, tetapi mesti berjalan seiring dengan ketegasan mempertahankan kesucian agama, kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam hantaran pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua isu utama yang mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang merupakan antara acara kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Susulan itu, baginda pada Selasa bertitah supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup songsang LGBT di negeri ini.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor pada 2030.
Baginda bertitah, perancangan tersebut dipandang serius, khususnya apabila terdapat kemungkinan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar di Bukit Tagar.
Ujar Hamzah, sebarang usaha untuk menormalisasikan aktiviti songsang yang bercanggah dengan ajaran agama, jati diri dan nilai kemanusiaan perlu ditangani secara tegas serta berhemah
“Isu penternakan babi pula perlu melalui pematuhan ketat kepada peraturan alam sekitar, kesihatan awam, zon guna tanah dan sensitiviti masyarakat setempat,” ujarnya.