NUUK - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pemerintah di Nuuk mahu memperkukuhkan pertahanan wilayah autonomi Denmark itu setelah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semakin lantang dengan retorik mahu menguasai Greenland.
Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen pada Isnin menegaskan keselamatan dan pertahanan mereka 'milik NATO' iaitu pakatan ketenteraan dianggotai 32 negara.
"Kami akan memastikan peningkatan keupayaan pertahanan sekitar Nuuk akan dilaksanakan melalui kerjasama rapat bersama NATO, dialog dengan sekutu kami termasuk AS dan kolaborasi bersama Copenhagen," jelasnya.
Pemerintah wilayah itu juga memberi amaran tegas mereka menolak pengambilalihan Pulau Artik itu dalam apa jua situasi.
"Greenland akan sentiasa menjadi sebahagian daripada pakatan pertahanan Barat," menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua NATO, Mark Rutte juga mengesahkan pakatan itu sedang berusaha ke arah langkah seterusnya untuk mengukuhkan keselamatan Artik.
Pada minggu lalu, Perancis, Jerman, Itali, Poland, Sepanyol dan Britain mengeluarkan kenyataan bersama bagi menzahirkan sokongan kepada Denmark dan Greenland untuk menentang idea mengarut Trump.
Di Nuuk, rasa cemas dan takut mula menyelubungi penduduk susulan ancaman terbaharu pencerobohan Trump.
"Sebelum ini, kami hanya ketawa ketika beliau mahu membeli Greenland kerana menyangka ia gurauan semata-mata. Tetapi, ugutannya kali ini jauh lebih agresif," kata Nuunu Binzer, 35. - AFP