'Bukan mengenai wang, tetapi kebenaran' - Hannah Yeoh

Iklan
Hannah (tengah) ditemani peguam-peguamnya ketika sidang akhbar.

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberitahu bahawa kemenangannya dalam kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bukan mengenai wang semata-mata sebaliknya menyentuh isu kebenaran.

Hannah, 47, berkata demikian selepas dicadangkan peguamnya, Datuk S Ambiga dalam sidang akhbar selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa memerintahkan Musa, 74, membayar ganti rugi RM250,000 kerana memfitnah berhubung isu Kristianisasi dalam sebuah forum, enam tahun lalu.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Segambut itu menarik nafas lega kerana keputusan berkenaan telah membersihkan namanya daripada golongan yang memfitnah menggunakan isu perkauman dan agama.

“Ini menunjukkan dakwaan yang dilemparkan terhadap saya merupakan satu penipuan.

Iklan

“Imej saya sudah rosak sejak enam tahun lalu, namun paling penting perkara ini telah dibuktikan oleh mahkamah,” katanya.

Pada Selasa, Musa diperintah membayar ganti rugi RM250,000 kepada Hannah kerana memfitnahnya berhubung isu Kristianisasi dalam sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2020.

Iklan

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim, Datuk Azimah Omar (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Hannah.

Beliau bersidang bersama Hakim, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman turut memerintahkan Musa membayar kos sebanyak RM60,000 kepada Hannah, 47.

Dalam pada itu, pemimpin DAP berkata, sejak enam tahun, beliau terpaksa hidup dengan pelbagai pembohongan dan fitnah yang berlegar di media sosial.

Katanya, ia bukan sahaja mencemarkan nama baik malah turut mengelirukan orang ramai lebih-lebih lagi kenyataan dibuat seorang bekas Ketua Polis Negara.

Sedangkan beliau berkata, selaku seorang penjawat awam, Musa sepatutnya bertindak dengan lebih cermat dan berasaskan fakta yang sahih, bukannya dakwaan yang mencetuskan persepsi salah kepada masyarakat.

“Kini, tumpuan saya ialah melaksanakan amanah kepada rakyat dengan penuh integriti, tanggungjawab serta keikhlasan.

“Semoga hidup saya terus memuliakan Tuhan melalui khidmat saya kepada rakyat,” katanya.

Selain Ambiga, Hannah selaku perayu turut diwakili peguam-peguam, Sangeet Kaur Deo, Lim Wei Jiet dan Lee Guo Wen manakala Musa sebagai responden diwakili peguam, Nur Jehan Abu Bakar.

Sebelum ini, Hannah yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan di forum itu pada 30 Januari 2020.

Hannah mendakwa Musa, dalam ucapannya antara lain menuduhnya menulis buku bertajuk 'Becoming Hannah' untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Termasuk mempunyai hubungan dengan mubaligh agama itu dan Yahudi demi menjejaskan Islam serta Malaysia, selain mengutamakan kepentingan peribadi beliau berbanding negara.

Pada 23 Disember 2024, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Arziah Mohamed Apandi menolak saman selepas mendapati Hannah gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa sebagai fitnah.