KUALA LUMPUR - abatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat menegaskan bahawa siasatan berhubung dakwaan wujud cubaan menjatuhkan kerajaan serta mengganggu kestabilan negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan.
Dalam kenyataan pada Jumaat, AGC memaklumkan bahawa mana-mana pihak yang didapati terlibat, sekiranya ada, hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.
Menurut AGC, jabatan itu juga memandang serius isu berkenaan kerana sebarang tindakan atau perancangan berunsur menggugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara merupakan perkara yang menyentuh asas sistem demokrasi berparlimen serta prinsip kedaulatan undang-undang.
AGC turut menyatakan jabatan itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses perundangan sewajarnya dapat dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
"Sebarang keputusan berhubung pendakwaan akan dibuat secara bebas dan objektif berdasarkan fakta, keterangan serta pertimbangan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Pemakluman oleh AGC itu merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada Jumaat berhubung siasatan yang dijalankan PDRM terhadap dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta mengganggu kestabilan negara. - Bernama