GUA MUSANG – Tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera termasuk seorang wanita dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang–Kuala Krai di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, enam mangsa terlibat dengan tiga daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Bilik Gerakan Polis pada jam 1.01 tengah hari sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 1.43 petang, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan dengan enam mangsa.
“Daripada jumlah itu, tiga mangsa lelaki didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, dua lagi mangsa lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan serta diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi menyelamat melibatkan seramai 11 anggota dengan bantuan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan van Urvan.
“Operasi turut melibatkan kerjasama PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan KKM bagi memastikan kerja-kerja menyelamat serta pengurusan mangsa berjalan lancar,” katanya.