ALOR SETAR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah melengahkan atau mengingkari perintah mahkamah berhubung kes seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang diperintahkan Mahkamah Tinggi supaya diberikan kewarganegaraan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, dakwaan yang dibuat oleh seorang peguam mewakili remaja berkenaan sebelum ini telah memberi gambaran tidak tepat kepada masyarakat seolah-olah JPN sengaja mempersulitkan proses pelaksanaan keputusan mahkamah.
Menurutnya, kes tersebut bermula apabila ibu bapa remaja berkenaan hadir ke JPN bagi tujuan permohonan MyKad, namun pemeriksaan awal mendapati penampilan fizikal remaja itu didapati tidak seiras dengan pasangan yang mengaku sebagai ibu bapanya.
“Pertama sekali saya ingin jelaskan, kes ini sememangnya berada dalam makluman JPN dan tiada isu dari segi pematuhan terhadap keputusan mahkamah.
“Hasil siasatan mendapati sijil kelahiran anak ini diperoleh daripada sebuah hospital swasta yang telah disenarai hitam oleh JPN kerana terbabit dengan sindiket pengeluaran maklumat kelahiran secara tidak sah,” katanya pada sidang media, Selasa.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 Peringkat Negeri Kedah di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah di sini.
Saifuddin berkata, ibu bapa remaja terbabit turut mengakui mengetahui sijil kelahiran berkenaan diperoleh secara tidak sah ketika anak itu masih bayi, namun perkara tersebut tidak dinyatakan oleh peguam dalam kenyataan kepada media.
Mengulas keputusan mahkamah, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN tiada masalah menerima serta melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 8 Disember lalu.
Katanya, perkara itu selaras dengan Perkara 14(1)(i) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bayi yang tidak diketahui asal usul kelahirannya boleh dianggap sebagai warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan keputusan mahkamah perlu melalui prosedur undang-undang yang betul, bermula dengan pengeluaran sijil kelahiran yang sah.
“Memandangkan sijil kelahiran asal diperoleh secara tidak sah, ia perlu digantikan dengan sijil kelahiran baharu melalui proses pendaftaran lewat, sesuai dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian kerana anak ini kini berusia 17 tahun,” ujarnya.
Saifuddin berkata, proses pendaftaran lewat kelahiran hanya melibatkan pengisian borang dan pengesahan oleh pihak berkaitan, seperti wakil rakyat atau pegawai kerajaan dan ia merupakan prosedur biasa yang sudah lama diamalkan.
Menurutnya, JPN akan melaksanakan sepenuhnya perintah mahkamah dengan mengeluarkan sijil kelahiran secara sah terlebih dahulu sebelum MyKad dikeluarkan mengikut prosedur biasa.
“Dakwaan kononnya JPN mempersulitkan proses atau mewajibkan sokongan wakil rakyat untuk mendapatkan kewarganegaraan adalah tidak benar dan tidak adil. Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan sejak menerajui KDN, jumlah kes kewarganegaraan tertunggak berjaya dikurangkan daripada kira-kira 50,000 kepada kurang 4,000 kes dalam tempoh tiga tahun.
Sebelum ini, media melaporkan peguam membidas sikap JPN yang didakwa enggan mematuhi arahan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja terbabit.