KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan terus memodenkan dan memperkasa kesiagaan aset pertahanan negara selaras dengan aspirasi pembangunan Angkatan Masa Hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak kementerian diperuntukkan sejumlah RM21.74 bilion dalam Belanjawan 2026 iaitu satu peningkatan sebanyak 2.92 peratus berbanding tahun 2025.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6 bilion telah diperuntukkan khusus untuk tujuan perolehan aset dan kelengkapan ATM.
"Insya-ALLAH, pada tahun ini kita akan mula menerima beberapa aset baharu dan antara yang besar ialah empat unit pesawat Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), tiga unit ANKA Medium Altitude Long Endurance- Unmanned Aerial System (MALE- UAS) dan lima bot Fast Interceptor Craft (FIC).
"Pada tahun ini juga, kita akan mula melaksanakan perolehan aset-aset strategik baharu antaranya sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD), sistem Short Range Air Defence (SHORAD), Multi Role Support Ship (MRSS) dan Medium Range Air Defence (MERAD)," katanya semasa berucap dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kementerian juga akan terus memartabatkan pertahanan menyeluruh kerana pertahanan negara merupakan tanggungjawab seluruh lapisan masyarakat, bukan ATM sahaja.
Jelas Mohamed Khaled, pihaknyaakanmengarusperdanakan pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS) dalam pertahanan negara seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
"Alhamdulillah, langkah ini sudah pun bermula dengan pelaksanaan model rintis WOGOS di Pulau Banggi, Sabah pada tahun lepas.
"Ia adalah bukti nyata bagaimana ATM berjaya menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan dalam konteks keselamatan dan pembangunan komuniti luar bandar di sana," ujarnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, MINDEF akan terus menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengurusan ancaman di Laut China Selatan.
"Kita tidak boleh sama sekali leka kerana Laut China Selatan ini masih sarat dengan ketidaktentuan dan potensi konflik, terutama melalui penggunaan grey zone tactics yang mengancam kedaulatan negara.
"Jadi, Malaysia akan terus mengurus hubungan diplomatik secara bijaksana dan berwaspada termasuklah dengan China bagi mempertahankan kepentingan maritim tanah air," ujarnya.
Tambahnya, MINDEF juga akan memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri pertahanan negara.
Jelas beliau, kementerian mahu Malaysia memiliki keupayaan pertahanan tempatan serta kedaulatan teknologi pertahanan yang berdaya tahan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
"Insya-Allah pada bulan ini, kita akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) iaitu satu dokumen yang melakar hala tuju yang jelas untuk membina industri pertahanan yang kukuh, berdaya saing dan mapan.
Dalam fokus yang ditekankan beliau, penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan dioptimumkan untuk membantu segala proses perolehan dan pentadbiran kementerian.
"Melaluinya kita akan tahu siapa yang mendapat apa dan melaksanakan tugas dengan pencapaian dan kecekapan yang bagaimana.
"Melalui AI, kita dapat tahu bahagian mana yang cenderung untuk berlaku ketirisan dan kecurangan, mengenal pasti kos sebenar, membuat perbandingan yang munasabah dengan negara yang setara saiz dan keperluannya seperti sistem pertahanan Malaysia," ujarnya.
Justeru, AI akan menjadi norma dalam semua aspek pengurusan ATM termasuklah semasa memilih bakat bagi menyertai angkatan ini"AI akan memberitahu kita segalanya tentang calon tersebut. Pemikiran, sikap, keperibadian dan kecenderungan melalui analitik media sosial bagi setiap calon tersebut," ujarnya.