Letupan di HELP University: Saksi lihat seorang penuntut terperangkap bawah papan

Iklan
Letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan. Foto JBPM

KUALA LUMPUR - Saksi kejadian letupan di HELP University di sini mendakwa melihat seorang penuntut wanita terperangkap di bawah kepingan papan dipercayai jatuh dari siling kafeteria sejurus letupan berlaku pagi tadi.

Saksi wanita berusia 24 tahun yang juga penuntut universiti itu yang enggan dikenali berkata, letupan berlaku secara tiba-tiba dan melihat mangsa dalam keadaan itu semasa mahu keluar dari kafeteria bagi menyelamatkan diri.

Iklan
Iklan

"Semasa melarikan diri, saya melihat seorang penuntut wanita terperangkap di bawah papan dan tidak dapat bergerak. Saya juga melihat seseorang lagi di bahagian dapur mengalami kecederaan melecur akibat kejadian itu,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Wanita itu berkata, tidak dapat memastikan keadaan mangsa serta tidak berupaya untuk membantu mereka kerana dirinya juga berada dalam keadaan panik.

Iklan

"Ketika itu penggera keselamatan sudah berbunyi dan saya memberi tumpuan untuk menyelamatkan diri,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, seorang petugas universiti yang juga enggan dikenali berkata, kampus itu mempunyai satu kafeteria yang digunakan staf dan penuntut.

Iklan

"Kebanyakan ruang dalam bangunan terlibat menempatkan pejabat pengurusan universiti, beberapa kelas dan kafeteria itu. Ketika kejadian, saya di blok lain dan tidak mendengar letupan tersebut kerana mungkin disebabkan jarak agak jauh,” katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati beberapa kenderaan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memasuki kawasan kejadian.

Beberapa pengawal keselamatan universiti swasta itu turut berada di sekitar lokasi bagi mengawal keadaan dengan blok terlibat telah dipasang tali kuning oleh pihak berkuasa bagi menghalang orang ramai memasuki lokasi kejadian.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian menyebabkan seorang pekerja syarikat kontraktor warga tempatan berusia 24 tahun maut ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala sembilan lagi cedera.

Beliau berkata letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan. - Bernama