SHAH ALAM – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa meneliti serta mengkaji semula pelaksanaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD) menegaskan bahawa pelaksanaan sistem tersebut telah mewujudkan ketidakadilan kepada pemandu terutamanya semasa waktu puncak dan musim perayaan.
“Tempoh 10 minit pertama tanpa penalti yang ditetapkan tidak mencukupi ketika waktu puncak kerana banyak situasi di lapangan memerlukan masa tambahan untuk menurunkan penumpang dengan selamat dan menguruskan bagasi.
“Kelewatan sering berpunca daripada faktor di luar kawalan pemandu, antaranya kesukaran mendapatkan ruang berhenti dan kesesakan semasa keluar dari laluan menurunkan penumpang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, MAHB mengumumkan pelaksanaan VAMS di KLIA yang menawarkan caj percuma kepada pengguna kenderaan yang menghantar atau mengambil penumpang bagi tempoh kurang daripada 10 minit.
Bagi tempoh 10:01 hingga 15:00 minit, caj penalti sebanyak RM10 dikenakan; 15:01–20:00 minit (RM30); 20:01–25:00 minit (RM60); dan 25:01–30:00 minit (RM100).
VAMS menggunakan sistem pembaca nombor pendaftaran automatik (LPR) bagi merekod masa masuk setiap kenderaan.
Dalam pada itu, LEAD turut menggesa agar penalti VAMS digantung semasa waktu puncak serta had masa sedia ada disemak semula agar lebih realistik mengikut situasi trafik sebenar.
Selain itu, LEAD mencadangkan agar sesi libat urus segera diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pemandu e-hailing dan penyedia platform, selain menimbang pembukaan laluan khas bagi VIP untuk memaksimumkan aliran trafik.
“KLIA ialah pintu masuk utama negara. Sistem pengurusan trafik mesti adil, fleksibel serta berpaksikan realiti operasi sebenar, bukan bergantung kepada algoritma dan penalti automatik.
“Kami berharap pihak berkuasa tidak menutup mata terhadap beban yang sedang ditanggung oleh pemandu akibat pelaksanaan sistem yang masih lemah,” ujarnya.