GEORGE TOWN – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) merancang perolehan 1,600 buah bas elektrik (EV) secara berperingkat daripada 2026 hingga 2031 sebagai sebahagian daripada pelan peralihan strategik jangka sederhana dan panjang bagi menggantikan sebahagian besar bas sedia ada di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, daripada jumlah itu, 250 buah bas EV akan diperoleh pada fasa pertama dengan penghantaran dijadualkan secara berperingkat bermula Mac 2026 hingga Mac tahun depan.
“Fasa pertama melibatkan 175 buah bas EV untuk Rapid KL dan 75 buah bas EV untuk Rapid Penang, yang dijangka mula beroperasi di Pulau Pinang bermula Mei 2026,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi bas diesel Rapid Penang di Padang Kota di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad.
Menurut Anthony, perolehan bas EV ini selari dengan hala tuju kerajaan untuk memodenkan sistem pengangkutan awam serta mengurangkan pelepasan karbon selain menyokong aspirasi negeri-negeri ke arah pengangkutan yang lebih mesra alam.
"Rapid Penang kini mempunyai 310 buah bas dengan sebahagian besar telah beroperasi melebihi 10 tahun, justeru memerlukan penggantian secara berperingkat.
"Sehubungan itu, Rapid Penang memulakan proses penggantian bas tahun ini dengan 70 buah bas diesel baharu yang merupakan kumpulan terakhir bas diesel sebelum peralihan sepenuhnya kepada bas EV.
“Sebanyak 10 buah bas diesel telah tiba dan mula beroperasi hari ini, manakala 60 buah lagi dijangka sampai bulan hadapan. Kesemua bas ini bersaiz 8.9 meter dan akan digunakan untuk operasi di sekitar Pulau Pinang,” katanya.
Anthony berkata, selepas kumpulan terakhir bas diesel ini, penggantian seterusnya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada bas EV, dengan sasaran 240 buah bas elektrik untuk Rapid Penang melalui dua fasa perolehan sehingga 2027.
Mengulas mengenai kos, beliau berkata, harga sebuah bas EV secara purata adalah lebih tinggi berbanding bas diesel, dengan anggaran antara RM1.2 juta hingga RM1.5 juta seunit, namun perincian perolehan belum diumumkan kerana sebahagian tender masih dalam proses.
“Kerajaan mahu memastikan nilai terbaik diperoleh dan sebab itu jumlah peruntukan tidak diumumkan selagi proses perolehan belum dimuktamadkan,” jelasnya.
Tambah beliau, bagi memastikan operasi bas EV berjalan lancar, Prasarana Malaysia Berhad turut membangunkan infrastruktur pengecas EV di depot-depot Rapid Penang.
Dalam pada itu, Anthony memaklumkan kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan kira-kira RM5 juta khusus untuk menaik taraf perhentian bas.
“Daripada jumlah tersebut, RM1.5 juta atau kira-kira 30 peratus diperuntukkan kepada Pulau Pinang bagi kerja-kerja menaik taraf hentian bas.
"Walaupun peruntukan adalah terhad, usaha akan dibuat untuk menaik taraf sebanyak mungkin hentian bas berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkhidmatan Rapid On-Demand yang menggunakan van menerima sambutan menggalakkan dengan 50 buah van kini beroperasi di Pulau Pinang.
Tambahnya, Prasarana sedang mempertimbangkan penambahan 170 buah van EV bermula separuh kedua tahun ini.