Usah tuding kesalahan kepada semua warga ATM - Mohamed Khaled

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) semasa Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memohon kepada masyarakat untuk tidak menuding jari menyalahkan keseluruhan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan isu integriti dan budaya tidak sihat yang dilaporkan baru-baru ini.

Menurutnya, kes aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya 'yeye' yang tular di media sosial merupakan satu pelanggaran peraturan membabitkan sebahagian kecil warga ATM.

Iklan
Iklan

"Saya kesal selepas melihat maklum balas sebahagian rakyat Malaysia yang menyifatkan seolah-olah kejadian itu adalah satu budaya yang ada sejak sekian lama dalam kalangan semua warga ATM.

"Saya harap semua pihak terutama rakyat Malaysia tidak menyalahkan semua atau menuding ke arah ATM seolah-olah semua warga ATM begitu," katanya dalam sidang media selepas Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira di sini pada Isnin.

Iklan

Mohamed Khaled berkata, pihaknya tidak mahu moral dan semangat anggota-anggota ATM terjejas kerana kutukan dan persepsi yang tidak rasional oleh rakyat.

Beliau berharap rakyat menyokong usaha Kementerian Pertahanan (Mindef) dan pimpinan ATM untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat.

Iklan

"Adalah tidak adil untuk menyalahkan semua anggota ATM kerana sebahagian besar daripada mereka berkorban untuk negara," ujarnya.

Mengulas mengenai siasatan isu 'yeye', Mohamed Khaled berkata, penyiasatan terhadap 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu hampir selesai dijalankan.

Jelasnya, kementerian akan memulakan siasatan terhadap mereka termasuk soal larangan membawa minuman keras dan membawa tetamu yang bukan daripada kalangan ahli keluarga.

"Perkara ini memang ada peraturannya dan sebarang pelanggaran peraturan bakal berhadapan dengan hukuman maksimum dibuang kerja," ujarnya.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di dalam Pangkalan Udara (PU) Subang.