GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan menegaskan cadangan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua syarat keselamatan, pelesenan dan teknikal dipatuhi sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan kekal terbuka menerima cadangan khususnya daripada pihak swasta namun setiap perancangan perlu melalui proses kelulusan menyeluruh sebelum dapat direalisasikan.
“Kami mengalu-alukan sebarang inisiatif sektor swasta untuk memperkenalkan perkhidmatan seperti teksi air tetapi ia mesti mematuhi syarat pelesenan dan yang paling penting, peraturan keselamatan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi bas diesel Rapid Penang di Padang Kota di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad.
Mengulas mengenai perkhidmatan pengangkutan laut sedia ada, Anthony Loke berkata, perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan Penang Sentral dan George Town telah beroperasi dengan baik sejak 2023.
Menurutnya, feri baharu itu telah membawa jumlah penumpang yang tinggi sepanjang dua tahun lalu dan menerima maklum balas positif daripada orang ramai.
“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna.
"Daripada segi kebolehpercayaan, keselesaan dan kualiti perkhidmatan keseluruhan, feri baharu menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.
Berhubung cadangan teksi air, Anthony Loke menambah, pelan terdahulu gagal dilaksanakan kerana tidak lengkap serta tidak menangani aspek teknikal dan peraturan yang kritikal.
"Sebarang perkhidmatan pengangkutan berasaskan laut perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Laut Malaysia yang bertanggungjawab terhadap keselamatan maritim.
"Kelulusan dan input teknikal juga diperlukan daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sekiranya perkhidmatan berkenaan beroperasi di perairan pelabuhan.
“Isu utama ialah penentuan dan pembinaan lokasi pendaratan atau jeti yang sesuai. Ia bukan hanya melibatkan bot tetapi jeti yang tertakluk kepada bidang kuasa tertentu dan mesti memenuhi piawaian keselamatan di bawah seliaan Jabatan Laut, dengan kerjasama kerajaan negeri khususnya berkaitan hal tanah,” katanya.
Menurut beliau, cadangan terdahulu tidak memperincikan perkara-perkara tersebut termasuk aspek keselamatan, pelesenan dan lokasi jeti, sekali gus menyebabkan pelaksanaannya tertangguh.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tetap menyokong cadangan yang berdaya maju dan disediakan dengan rapi.
“Selagi semua keperluan teknikal, keselamatan dan peraturan dipenuhi, kami terbuka untuk mempertimbangkan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang.
"Inisiatif itu berpotensi melengkapi perkhidmatan feri sedia ada jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik," ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan hasrat Kerajaan Pulau Pinang untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi air terpaksa ditangguhkan selepas syarikat terpilih gagal memenuhi syarat kelulusan yang ditetapkan agensi berkaitan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek itu yang menerima kelulusan bersyarat daripada MOT telah melalui beberapa fasa termasuk proses pemilihan syarikat menerusi kaedah Request for Proposal (RFP).
Namun, syarikat berkenaan gagal memperoleh semua kelulusan diperlukan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Laut Malaysia, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Maritim Malaysia.
Projek teksi air itu pada asalnya dicadangkan beroperasi di empat lokasi jeti yang dikenal pasti sesuai sebagai tempat pengambilan dan penurunan penumpang.
Perkhidmatan berkenaan yang dijangka mula beroperasi pada 2024 dirancang sebagai mod pengangkutan awam baharu untuk penduduk Pulau Pinang dan turut disenaraikan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.