SHAH ALAM - Kebanyakan rakyat di negara ini yakin kecerdasan buatan (AI) akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan pada 2026, mencerminkan keyakinan yang kukuh berbanding purata global.
Pengarah Urusan Ipsos Malaysia Sdn Bhd, Arun Menon berkata, rakyat Malaysia juga menunjukkan sikap yang lebih optimis terhadap impak AI.
Menurut beliau, seramai 67 peratus rakyat Malaysia menyatakan kemungkinan AI mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tahun ini, manakala 27 peratus berpendapat sebaliknya.
"Di peringkat global, 43 peratus berkata AI mungkin mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan 46 peratus pula berpandangan tidak mungkin.
"Ia kerana secara global, ramai kurang pasti AI akan mencipta lebih banyak pekerjaan pada 2026, dengan pendapat yang agak seimbang antara optimisme dan keraguan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ipsos menerbitkan ramalan bertajuk 'Aspirasi Rakyat Malaysia Bagi Tahun 2026' dengan menggunakan sampel representatif rakyat Malaysia dewasa berusia antara 18 hingga 74 tahun dengan saiz sampel 500, manakala global, 23,642 responden.
Arun turut memaklumkan, sebahagian besar rakyat Malaysia iaitu sekitar 82 peratus percaya bahawa 2026 akan menjadi tahun yang lebih baik buat mereka berbanding 2025.
Jelas beliau, tahap optimisme itu merangkumi jangka masa panjang, dengan 77 peratus responden menyatakan keyakinan terhadap masa hadapan, mengatasi purata global sebanyak 52 peratus.
Tambahnya lagi, sentimen positif sebegitu secara keseluruhan mencerminkan keyakinan berterusan dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia terhadap hala tuju serta prospek jangka panjang negara.
Dalam konteks lain, Arun berkata, rakyat Malaysia bukan sahaja merancang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga, rakan-rakan dan melakukan aktiviti senaman pada 2026, tetapi juga bercadang menumpukan perhatian kepada penampilan diri.
Ujarnya, 90 peratus rakyat Malaysia ingin meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, 86 peratus memilih untuk bersenam manakala 75 peratus mengutamakan penampilan diri.
"Ini menunjukkan peralihan dalam keutamaan, di mana rakyat Malaysia kini meletakkan nilai yang lebih tinggi terhadap keseimbangan.
"Melabur bukan sahaja dalam kerja dan kemajuan, tetapi juga kesihatan, hubungan dan peningkatan diri pada tahun akan datang.
"Selain itu, 60 peratus rakyat Malaysia menyatakan bahawa mereka merancang untuk menonton Piala Dunia FIFA 2026, sedikit melebihi purata global (59 peratus), walaupun wujud kontroversi terkini berkaitan bola sepak Malaysia," kata Arun lagi.