KUALA KANGSAR - Sebanyak 252 sekolah di Perak dikenal pasti sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) bagi sesi akademik 2026, kata Pengarah Pendidikan negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar.
Beliau berkata, sekolah yang mempunyai kurang daripada 150 murid dikategorikan sebagai sekolah kurang murid dan di Perak ada antaranya beroperasi dengan lima hingga tujuh orang murid sahaja.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, 70 merupakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 91 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), 79 Sekolah Kebangsaan (SK) serta 12 Sekolah Kebangsaan Orang Asli, melibatkan kesemua 12 daerah di negeri ini.
"Sebagai contoh di daerah Bagan Datuk, terdapat tujuh SJKC kurang murid, 14 SJKT dan 11 SK.
"Keadaan sama turut berlaku di daerah lain termasuk Kuala Kangsar yang merekodkan tujuh SJKC, 10 SJKT, 14 SK dan dua sekolah Orang Asli yang dikategorikan sebagai sekolah kurang murid," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena hari pertama pembukaan sekolah Kalendar Akademik Sesi 2026 di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.
Zulkafli menjelaskan, antara faktor utama yang menyumbang kepada situasi berkenaan ialah faktor sejarah dan geografi, selain penghijrahan penduduk yang menyebabkan kemasukan murid ke sekolah rendah semakin berkurangan.
Katanya, dalam sesetengah kes, terdapat juga murid yang melanjutkan pelajaran ke asrama sekolah harian dan institusi lain, sekali gus memberi kesan kepada jumlah enrolmen di sekolah-sekolah tertentu.
"Kadang-kadang anak-anak di kawasan tersebut sudah meningkat ke sekolah menengah, manakala ibu bapa pula berpindah ke tempat lain.
"Sekolah masih ada dan beroperasi, cuma kemasukan murid berkurangan akibat faktor tersebut," katanya.
Mengulas situasi keseluruhan hari pertama persekolahan, Zulkafli berkata, seramai 348,594 murid memulakan sesi persekolahan di Perak bagi tahun 2026 membabitkan 1,105 sekolah rendah dan menengah, disokong oleh 38,036 guru.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 16,282 merupakan murid prasekolah, manakala 30,456 murid Tahun Satu memulakan persekolahan masing-masing di seluruh negeri.
"Alhamdulillah, hari ini kita turun bersama-sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyantuni murid pada hari pertama persekolahan, sekali gus menunjukkan komitmen bersama untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif dan selesa," katanya.